KETIKA ada pihak cuba memecah belahkan perpaduan dalam Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas, UMNO dan Gerakan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara tegas menyatakan, ‘’parti itu tetap berdiri teguh mempertahankan PN”.
Selain itu tegas beliau, Pas tetap mahu menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang sebenar, dan tidak sesekali berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) dalam apa jua bentuk.
‘’Pas tetap berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta ijtihad melalui pengalamannya dengan memilih pendekatan demokrasi damai dan perpaduan umat bagi menunaikan agenda politik Islam yang berpandukan hidayah, berhikmah, matang dan Sejahtera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-70 di Temerloh, hari ini.
Abdul Hadi berkata, parti itu akan terus beristiqamah mengenali kalangan yang ikhlas menerima Islam adalah penyelesaian dan menolak kalangan yang telunjuknya lurus tetapi kelengkengnya berkait.
Beliau menjelaskan, Pas memilih perpaduan umat Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem, iaitu kalangan yang tidak menghalang bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah dan penyelamat manusia yang berwawasan dunia sehingga akhirat, serta mewajibkan Islam memimpin.
Langkah itu tegas beliau, ia bagi menjamin ‘keindukan’ Islam dan Melayu kekal terpelihara di tanah air ini.
Abdul Hadi berkata, Pas dilahirkan daripada gerakan islah dan tajdid yang ditubuhkan sejak umat Islam mengalami kelemahan, sehingga hilangnya kuasa politik yang menyebabkan negara-negara umat Islam dijajah dan mengalami masalah selepas keluarnya penjajah dari tanah air mereka.
‘’Segala halangan itu gagal menyekat kemaraan Pas melalui pendekatan demokrasi serta politik matang dan sejahtera, kerana kegagalan ideologi dan kelemahan undang-undang ciptaan manusia gagal menutup kepalsuan dan penipuan mereka.
‘’Sehingga kini, kita menjadi parti terbanyak kerusi di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), menguasai empat kerajaan negeri dan hampir menawan dua negeri, di samping adanya wakil rakyat di hampir semua negeri,’’ katanya.
Kini kata Abdul Hadi umat Islam semakin mara ke hadapan dan berjaya meletakkan Islam menjadi agama negara, serta menjadikan kebangsaan Melayu yang tidak berpisah daripada Islam.
Dalam ucapan bertemakan ‘Islam Adalah Penyelesaian’, Abdul Hadi menegaskan, Islam berjaya mengurus manusia yang bermasyarakat majmuk, pelbagai kebolehan, kemampuan dan hasil bumi, melalui ilmu dan tarbiah yang mempunyai hubungan dengan Allah Pencipta Alam.
‘’Muhasabah wajib dilakukan terhadap sistem pendidikan, media dan dakwah supaya pembangunan insan yang sempurna hendaklah mengikut acuan Islam. Kejayaan pembinaan generasi awal bermula dengan pendidikan jasad, roh dan akal, sehinggalah bahasa yang digunakan,’’ katanya.

