GLOBAL Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mengakui berlakunya beberapa kes liwat dalam organisasi tersebut.
Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali berkata, kes liwat tersebut adalah isu terpencil yang melibatkan satu atau dua kes sahaja.
Dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosial GISBH, hari ini, Nasiruddin turut mengakui terkilan apabila tiada rundingan dan perbincangan berlaku sebelum pihak berkuasa melakukan tangkapan.
Malah, beliau menyifatkan apa yang berlaku sebagai tidak berasas dan merupakan tohmahan sesetengah pihak.
“Akhirnya berlakulah tangkapan, cerita liwat (itu) jijik sebenarnya tapi kita sebagai orang Islam, saya sangat sedih. Saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya.
“Saya bukan nak menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tapi tak boleh nasihat ke?
“Ini tangkap lebih 400 (kanak-kanak dan remaja (mendiami rumah amal dikaitkan dengan GISBH), mereka tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya.
“Memang liwat itu ada satu, dua (kes), tetapi kenapa mahu dirangkumkan semuanya?” katanya dalam video tersebut.
Mengulas lanjut, Nasiruddin turut menafikan dakwaan kononnya organisasi itu menanam doktrin mengenai ajaran Islam yang menyeleweng terhadap kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu.
Pada masa sama, beliau berkata, GISBH sedang dalam usaha untuk melantik peguam bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa melemparkan tohmahan.
“Kenapa semudah ini? Perkara yang mudah (untuk) dirunding, kami tak menyakitkan orang lain dan sebagainya. Sedih sangatlah, cara hidup kami, ada yang kata doktrin. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada orang yang mahu mendengar kebenaran. Kami sedang dapatkan peguam, esok mungkin peguam kami akan bertindak mengikut undang-undang seperti mana yang digariskan.
“Saya sangat kesal dengan tuduhan yang dilontarkan dan menggunakan akaun palsu.
“Cerita ini tak berasas, kami sudah beroperasi 30 tahun, jika ada bukti tunjukkan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan seramai 13 kanak-kanak yang merupakan penghuni rumah perlindungan yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Global, Rabu lepas disyaki telah diliwat.
Hal itu berdasarkan saringan perubatan yang dijalankan terhadap 13 mangsa itu yang menghuni di rumah perlindungan di Selangor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata pihaknya juga telah membuka empat kertas siasatan terhadap empat lelaki yang disyaki melakukan perbuatan berkenaan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengenai 402 penghuni yang diselamatkan menerusi Op Global itu, Razarudin berkata 392 telah selesai menjalani saringan kesihatan melibatkan 202 lelaki dan 190 perempuan.
Sepuluh lagi mangsa yang merupakan Orang Kurang Upaya dan autisme bersama 49 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Bukit Beruntung, Cheras dan Seremban, Negeri Sembilan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

