Kisah ini diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abu Talib r.a. Satu ketika Nabi s.a.w. ada berhutang dengan seorang tabib Yahudi beberapa dinar, dan lelaki itu menagih hutang tersebut. Malangnya ketika itu Rasulullah tidak mempunyai wang untuk membayarnya.
“Aku tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kepada engkau” sabda Nabi s.a.w.
“Jika begitu, aku tidak akan melepaskan engkau wahai Muhammad, sehingga engkau membayar hutangmu kepadaku, dan jika begitu, aku akan tinggal bersama kamu”. Kata lelaki Yahudi itu.
Lalu Baginda menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh bersama Yahudi itu. Para sahabat yang mengetahui hal itu berasa marah dan mengancam lelaki tersebut. Mereka bertanya,
“Ya Rasulullah! adakah Yahudi ini menjadikan engkau hamba-nya?” Baginda menjawab,
“Tuhanku melarang aku memungkiri janji terhadap seseorang”
Setelah matahari sudah meninggi, lelaki Yahudi itu berkata,
“Aku mengaku engkau adalah Rasulullah. Aku akan serahkan separuh daripada hartaku untuk jalan Allah. Aku bersumpah di hadapan Allah bahawa tujuan aku mengugutmu (Nabi s.a.w.) ialah agar aku dapat melihat apa yang diceritakan oleh kitab Taurat mengenaimu.”
Sebenarnya di dalam kitab Taurat ada dinyatakan bahawa Muhammad bin Abdullah akan dilahirkan di Mekah, tempat para pendatang dari Taibah yang diperintah kerajaan Syam. Digambarkan bahawa Baginda tidak kasar, atau bersuara kuat di jalan. Baginda juga tidak berkeperibadian kasar dan berkata tidak sopan.
Tidak mudah melenting
Dalam satu kisah yang lain, Baginda s.a.w. pernah membeli seekor unta dari seorang lelaki. Bagaimanapun Baginda menangguh bayarannya. Setelah beberapa lama lelaki yang menjual unta itu datang kepada Nabi s.a.w. dan menuntut wangnya.
Malangnya dia menggunakan bahasa yang kasar sehingga membangkitkan kemarahan para sahabat Baginda. Mereka mahu menangkap lelaki itu, tetapi Baginda meminta para sahabat meninggalkannya berdua dengan penjual unta tersebut. Sabda Baginda, lelaki itu memang berhak menuntut wangnya.
Dan dalam satu peristiwa yang hampir serupa, Rasulullah didatangi seorang lelaki yang menuntut kembali wang yang dipinjamkan kepada Baginda secara kasar. Saidina Umar al-Khattab mahu menangkap lelaki itu, tetapi Baginda tidak membenarkannya. Sabda Nabi s.a.w.
“Ya Umar! Sudahlah. Adalah lebih jika engkau menyuruh aku membayar balik hutangku dan menyuruhnya bersabar”.
Begitulah sikap Nabi s.a.w. yang lembut, tidak mudah melenting, sopan, walau pun didatangi secara kasar. Malah para sahabat tidak pernah berasa Baginda berlaku kasar atau meminggirkan mereka.
Nabi s.a.w. tidak melukakan hati orang, apatah lagi menjatuhkan maruah atau air muka orang lain sama ada melalui kata-kata atau perbuatan. Kata-kata yang keluar dari mulut Baginda sentiasa yang baik, benar dan tindak kasar. Apabila bercakap dengan orang, Baginda akan menghadapkan muka dan badannya kepada orang itu, dan tidak memalingkan muka daripada seseorang. Apatah lagi memandang rendah kepada orang lain.
Mereka yang berdamping dengan Baginda berasa dihormati. Yang berasa susah hati dan mempunyai sebarang keperluan pula akan rasa terubat setelah bertemu Nabi s.a.w. Ini kerana Baginda tidak akan menyuruh mereka pergi tanpa memberi nasihat dengan kata-kata yang lemah lembut, sehingga mereka berasa beban yang ditanggung berkurangan, walaupun Baginda tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya,
“Apakah amalan yang boleh membawa seseorang ke syurga?” Baginda menjawab,
“Bertakwa kepada Allah dan bersopan santun”
Baginda s.a.w. adalah contoh terbaik dalam hal ini. Lihat saja contoh lain apabila Baginda ditegur oleh seorang lelaki Yahudi dengan ucapan, “al-Sam ‘alaikum” yang bermaksud kematian untukmu, dan bukannya “assalamualaikum” (selamat sejahtera ke atasmu).
Aisyah r.ha yang berada di situ begitu marah dan menjawab dengan keras. Namun Baginda tetap berlembut dan menasihatinya.
“Ya Aisyah! janganlah menggunakan perkataan yang kasar, bersopan santunlah kamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang sederhana dalam segala-galanya”.
Begitu tinggi nilai dan pekerti Nabi Muhammad dan selayaknya Baginda menjadi kekasih Allah.
Ketinggian pekerti Nabi s.a.w. ada disebut dalam al-Quran dalam surah Ali ‘Imran: 159, mafhum Nya,
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada (sahabat-sahabat serta pengikutmu), dan kalau engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka menjauhkan diri darimu…” Wallahu a’lam
_________________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

