Desak kerajaan keluarkan pensijilan halal ‘bersyarat’ kepada pengusaha Islam

Dari Penulis

SUDAH beberapa kali Majlis Perundingan Melayu (MPM) terlibat dalam perbincangan berkaitan pensijilan halal ini. 

Pernah suatu ketika dahulu, sekitar tahun 2015-2016, bersama Biro Ekonomi UMNO, kami bawa perkara ini, yang ketika itu berdepan beberapa isu dan cabaran, ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU). 

Usul yang diangkat di dua PAU itu hingga kini belum diambil tindakan. Tiga watak utama dalam kalangan kami yang menjuarai usul itu sudah pergi meninggalkan kita semua.

Seingatan saya, bermulanya gerakan pensijilan halal ini ialah apabila semakin kuat desakan melindungi kepentingan pengguna dalam kalangan umat Islam. 

Pada masa itu, pelbagai keraguan tercetus berkaitan halal haram produk makanan, ubat-ubatan, produk kosmetik, malah dalam sistem kewangan Islam.

Sebagai contoh, dalam bidang sajian makanan:

1. Terdapat banyak restoran milik orang bukan Islam. Makanannya nampak sedap dan persekitaran restorannya menarik. Katanya mereka tidak hidang makanan mengandungi khinzir, alkohol atau arak. Atau, ia sebuah restoran vegetarian.

Tidak bermakna makanan yang dihidangkan halal. Ini kerana takrifan halal bukan sekadar tanpa khinzir, arak atau alkohol. Takrifannya amat meluas, terkait semua bahan, ramuan, prosedur dan proses dalam ekosistem penyediaan makanan halal itu.

2. Kedua, bagaimana pula jika restoran itu milik orang Islam? Akan tetapi tiada sijil halal yang sah dipamerkan. Adakah secara automatik boleh diperakui yang ia hidangkan makanan yang halal?

Belum pasti. Apa kata jika ada di antara bahan atau ramuan yang diguna pengusaha restoran itu sendiri tidak pasti sama ada ia halal atau tidak. 

Namun dalam kalangan pengguna Islam, kita tawakal bahawasanya apa yang disajikan adalah halal, jika kita pasti pemilik dan pekerja di restoran itu adalah ahli sunnah wal jamaah, yang faham hukum-hakam syarak dan syarat-syarat muamalat.

3. Bagaimana pula dengan restoran yang nampak Islamik, milik pengusaha bukan Islam, ada di antara pekerjanya beragama Islam, serta, ada orang Islam mengunjunginya, walhal, tiada sijil halal yang sah dipaparkan di kedai berkenaan.

Adakah kita boleh makan di situ?

Saya berpandangan, kita jangan ambil risiko, sebab belum pasti keseluruhan proses penyediannya, termasuk bahan dan ramuan yang digunakan semuanya halal.

Dalam ketiga-tiga senario di atas, kesemuanya ada konflik tersendiri: 

Bagaimana agaknya penerimaan pengguna Islam terhadap bisnes yang perlukan pensijilan halal?

Bagaimana pula dengan pematuhan pengusaha sesuatu bisnes terhadap pematuhan sistem pensijilan halal yang wajib mereka akur?

Perlukah pengusaha bukan Islam memiliki sijil halal kerana sistem pensijilan ini berkaitan dengan hukum-hakam syarak dan syarat-syarat muamalat yang tidak mereka fahami?

Rencana ini agak panjang sedikit kerana saya ulangi perbicaraan mengenai hak dan kepentingan tiga golongan utama ini (pengguna Islam, pengusaha Islam dan pengusaha bukan Islam) daripada  beberapa perspektif, yang ada kaitan dengan konflik yang dicetuskan.

Pada hemat saya, penyelesaian konflik ini tertumpu kepada hak dan kepentingan tiga golongan ini:

Golongan pertama dan paling utama ialah pengguna orang Islam. Dalam apa juga situasi sekalipun, kepentingan mereka wajib sentiasa dilindungi, diutamakan dan terjamin.

Golongan kedua ialah pengusaha ekonomi halal orang Islam. Jika mereka adalah dalam kalangan ahli sunnah wal jamaah, yang arif dengan hukum-hakam syarak dan syarat-syarat muamalat, mereka faham kepentingan sistem pensijilan halal, hatta, wajib diberi layanan yang adil dan saksama dalam usahanya mendapatkan pensijilan halal.

Tidak boleh samakan mereka dengan pemohon orang bukan Islam. Apatah lagi bagi mereka ini yang menjalankan bisnes pada skala kecil atau mikro, yang belum mampu penuhi semua syarat pensijilan halal yang piawai.

Golongan ketiga ialah pengusaha dalam kalangan orang bukan Islam. Keinginan mereka menceburi industri atau ekonomi halal dibolehkan, malah digalakkan dan tidak terhalang, dengan syarat mereka akur mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan. 

Tiada sesiapa pun memaksa mereka wajib mendapatkan sijil halal jika bisnesnya itu tidak mensasarkan orang Islam. 

Mereka yang beria-ia hendak memperolehi sijil halal sebenarnya ingin “menumpang” manfaat yang ditawarkan oleh ekonomi halal. 

Lagi pun, dalam banyak hal pengguna Islam sebenarnya tidak memerlukan produk atau perkhidmatan mereka, kerana komuniti pengguna Islam lazimnya ada pilihan mereka sendiri.

Andai kata, sesuatu produk atau perkhidmatan itu wajib diperlukan dan tiada dalam kalangan pengusaha Islam mampu hasilkan atau tawarkannya, maka fatwa boleh dikeluarkan memberi pengecualian semata- mata atas tujuan ‘kecemasan”, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan. 

Contohnya ialah pengambilan vaksin bagi merentang jangkitan COVID-19 yang baru kita semua alami.

Hatta, peraturan pensijilan halal ini tidak sama sekali memalukan negara, seperti mana yang didakwa oleh seorang jurucakap puak cauvinis. 

Akan tetapi jika beliau berkata sistem pensijilan halal yang ada ini mendiskriminasikan pengusaha orang Islam yang menjalankan bisnes berskala kecil dan mikro, ia ada kebenarannya.

Jika beginilah konfliknya, maka, terlanjur perkara ini, yang sudah sekian lama kita semua terima sebagai satu norma masyarakat berbilang agama, kini dicuit dengan nawaitu yang serong, eloklah kita pertegaskan lagi hak, keutamaan dan kepentingan golongan yang tercuit:

Pertama, dalam apa keadaan sekalipun, hak orang Islam tidak boleh dikompromi. Ia wajib sentiasa dijaga dan dilindungi, agar apa jua yang mereka makan atau guna (seperti produk kosmetik dan ubat-ubatan) dijamin halal.

Kedua, hak pengusaha dalam kalangan orang Islam untuk menceburi ekonomi halal hendaklah sentiasa diutama dan digalakkan. Sebagai golongan ahli sunnah wal-jamaah, mereka tahu hukum-hakam syarak dan syarat-syarat muamalat dalam Islam. 

Betul, mereka juga wajib mematuhi peraturan pensijilan halal. Pun begitu, sebagai orang Islam, proses pensijilan halal yang disyaratkan kepada mereka hendaklah berbeza dengan pengusaha orang bukan Islam. 

Mesti ada fleksibiliti, akad, keadilan dan kesaksamaan bagi kalangan PKS milik orang Islam yang tidak mampu memenuhi sepenuhnya syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. 

Pihak-pihak berkuasa dan agensi pengupaya bisnes halal ini wajib memudahcara sistem pensijilan halal bagi membolehkan mereka ini layak menerima sijil halal ‘bersyarat’ bagi tempoh masa yang munasabah. 

Bagi mereka dalam kategori ini wajib ada ‘exit plan’, untuk akhirnya layak mendapat sijil halal yang piawai, sama seperti yang diberikan kepada lain-lain pemohon.

Pun begitu, jika mereka juga menawarkan makanan atau perkhidmatan kepada pihak lain termasuk warga asing dan pelancong, yang memerlukan jaminan kualiti mengikut piawaian antarabangsa, terutama HACCP dan amalan pensijilan negara seperti GMP dan Malaysia Best, sewajarnyalah di samping pensijilan halal, mereka ini memiliki lain-lain sijil itu.

Sayugia kerajaan mengambil perhatian, sejak sekian lama negara mempromosikan ekonomi halal, hingga kini, nilai ekonomi ini yang dikuasai oleh pengusaha dalam kalangan orang Islam teramat kecil, baik di pasaran dalam negara, apatah lagi dalam perdagangan eksport.

Ini kerana, dari segi bilangan dan saiz enterprais, sekitar 90 peratus daripada mereka ini memiliki bisnes berskala mikro dan kecil. 

Masakan mereka mampu memenuhi semua syarat pensijilan halal yang digandingkan dengan lain- lain pensijilan terutama HACCP dan GMP.

Realitinya, jika semua agensi pengupaya bisnes, terutama yang ditubuhkan bagi memudahcara pengusaha dalam kalangan orang Islam, gagal berperanan sewajarnya, sampai bila pun fakta itu akan kekal demikian. 

Insaflah, majoriti pengusaha dalam kalangan orang Islam memerlukan sistem yang saksama, bukan yang sama untuk semua kategori pengusaha.

Ketiga, hak pembabitan dalam ekonomi halal  orang bukan Islam juga dilindungi, dengan syarat mereka faham dan patuh syarat-syarat yang ditetapkan. 

Jika mereka merasakan sistem pensijilan halal yang dibina ini memalukan, tidak perlulah mereka bersusah-payah cuba mendapatkannya. Dan, orang Islam pula diharamkan menaungi (patronize) bisnes mereka itu, kerana diragui status halalnya.

Oleh yang demikian, bagi menepis keraguan orang Islam dan meningkatkan penerimaan mereka terhadap pengusaha bukan Islam, maka, selain daripada memiliki sijil halal yang sah, akan lebih meyakinkan jika bisnes halal mereka itu ditadbirurus oleh pengurus dalam kalangan orang Islam, yang memiliki sijil pentauliahan pengurusan bisnes halal, yang tahu akan hukum-hakam syarak serta syarat-syarat muamalat yang ditetapkan. 

Pengurus ini ada tanggungjawab melindungi kepentingan pengguna orang Islam, jauh lebih utama daripada menjaga kepentingan bisnes itu sendiri.

Kehadiran pengurus ekonomi halal bertauliah ini bukan saja meredakan keadaan jika tercetus keraguan, mereka juga bertanggungjawab memastikan sijil halal yang diberikan tidak disalahguna, atau melanggar mana-mana syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Masalah sesama kita ialah, bila ada yang berbunyi atau menegur, pihak-pihak yang berwajib lazimnya pekakkan telinga, buat tak tahu saja. 

Tapi bila puak-puak cauvinis berbunyi, cuba melindungi pengusaha mereka yang enggan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, kononnya syarat- syarat itu memalukan, dengan pantas pihak-pihak berwajib itu bertindak. 

Masalah inilah juga yang menyebabkan perangkaan yang saya paparkan itu kekal begitu buat sekian lamanya.

Hendaknya, selepas ini, semua pemegang taruh dalam kalangan kita sependapat dan sependirian dalam menangani konflik ini, maka:

  • – Semua pihak yang menceburi bidang ekonomi halal, menawarkan produk atau perkhidmatan kepada pengguna Islam, tidak kiralah sama ada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, wajib memiliki sijil halal yang sah. 

Janganlah sesekali pertikaikan akan keperluan ini, sekalipun status sijil yang dimiliki sekadar ‘sijil halal bersyarat’.

  • – Bagi orang Islam yang menjalankan bisnes berkaitan ekonomi halal, tetapi belum cukup besar atau belum mampu mendapatkan sijl halal yang piawai, jabatan yang berwajib hendaklah memberikan mereka sijil halal berstatus ‘bersyarat’ (provisional atau conditional), iaitu sijil diberi melalui proses akad di antara pemohon dengan pihak berkuasa. 

Dan bezakan sijil halalnya itu dengan sijil halal yang piawai. Syor ini pernah kami bawa ke dua PAU sebelum ini. Hingga kini belum terlaksana.

  • – Bagi pengusaha bukan Islam, tiada kewajipan untuk mereka memiliki sijil halal, kecuali jika mereka berhasrat menumpang manfaat pasaran pengguna Islam. 

Dari sudut bisnes mereka tahu, jika bisnes mereka miliki sijil halal yang sah, di pasaran domestik saja mereka dapat tembusi lebih 50% pengguna rakyat negara ini. 

Di pasaran global pula, mereka tahu nilai pasaran ekonomi halal kini sudah hampir USD 2.0 trillion. Hatta, jika mereka memilih untuk mendapatkan sijil halal yang sah, ia adalah keputusan bisnes, bukan satu paksaan.

Sebagai penutup, saya ulangi pandangan saya mengenai konflik pensijilan halal yang sudah pun dicuit dengan niat yang serong:

Dari perspektif kepenggunaan, ia adalah sijil untuk menyakinkan kami pengguna Islam bahawasanya produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu adalah halal mengikut hukum syarak. 

Ia turut dijamin oleh mereka yang mengurusnya dalam kalangan orang Islam yang galas tanggungjawab menjaga hukum-hukum syarak.

Dari perspektif ekonomi, ia adalah sijil bernilai tinggi dan bernilai berganda kepada lain-lain sijil yang diwajibkan. Terpulang kepada setiap pengusaha untuk menumpang manfaat pasaran pengguna Islam, dalam dan luar negara.

Jika dipatuhi kesemua syarat pensijilan dan pengurusan itu, tiada bezanya daripada kacamata pengguna Islam, sama ada pengusaha ekonomi halal itu orang Islam atau bukan Islam.

Bagi majoriti pengusaha ekonomi halal dalam kalangan orang Islam, kami amat faham akan kesukaran anda yang menjalankan bisnes berskala kecil yang belum mampu untuk mendapat semua pensijilan termasuk sijil halal yang diperlukan. 

Apa yang kami harapkan daripada anda ialah untuk semua mendesak pihak berkuasa mengeluarkan sijil halal ‘bersyarat’ kepada anda, yang diberikan melalui proses akad yang dibuat dengan pihak berkuasa itu. 

Sebagai orang Islam anda tahu hukum-hakam syarak yang wajib ke atas anda. Lain-lain sijil yang dperlukan seperti HACC, GMP dan sebagainya itu adalah budi bicara untuk mendapatkannya. 

Bagi orang seperti kami, adanya sijil halal ”bersyarat” itu sudah lebih daripada memadai, untuk meyakinkan kami akan kehalalan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Mara tidak kompromi peminjam sengaja culas

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas untuk membayar balik pinjaman. Perkara itu ditegaskan...

More Articles Like This