Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Saiful masih berlegar di perkarangan garaj surau di Kampung Bendang Ujib, mukim Kati, Kuala Kangsar, Perak. Sementara menunggu enjin van panas, dia meneguk kopi ‘O’ panas yang baru dibelinya tadi untuk bersengkang mata.
Malam itu, Saiful mahu bertolak ke rumah abangnya di Kampung Lintang, Sungai Siput, Perak. Jarak di antara Kampung Bendang Ujib dengan Kampung Lintang tidaklah terlalu jauh, iaitu lebih kurang 35 batu sahaja.
Saiful bercadang hendak bertamu di rumah abangnya malam itu kerana esok pagi-pagi lagi mereka perlu bergerak ke Hospital Kuala Lumpur dan mengambil satu jenazah untuk dibawa pulang ke Kuala Kangsar. Kalau esok pagi baru hendak bertolak dari rumah, alamatnya lambatlah urusan mereka akan selesai nanti. Jadi, dia pilih untuk bertolak malam itu juga.
Bila jarum tempreture kenderaannya sudah hampir mencecah separuh, Saiful terus sahaja masuk ke dalam van. Malam itu, Saiful hanya bersendirian. Jadi, hanya siaran radio sahaja yang menjadi penemannya.
Pemanduan dari kampungnya ke jalan utama perlu melalui beberapa buah kampung lain, termasuklah Kampung Padang Lalang, Kampung Berala dan Kampung Cheh Hilir. Sepanjang jalan itu, suasana sekeliling hanya diterangi lampu jalan yang kuasanya tidak seberapa. Malap sahaja di sana sini. Di bahagian tertentu pula langsung tidak berlampu. Gelap pekat.
Jarang kelihatan kenderaan lalu-lalang pada malam-malam buta begitu walaupun ia adalah laluan utama untuk ke Sungai Siput. Ini menjadikan sepanjang pesisir jalan itu sunyi dan samar-samar.
Hanya sesekali sahaja vannya berselisih dengan lori balak yang baru turun dari Gerik. Itu pun selang sepuluh minit baru jumpa sebiji. Lepas tu, lesap. Bayang asap pun tak nampak.
Kesunyian dan kesamaran itu lebih membimbangkan ketika tiba di kawasan persimpangan di antara Kampung Cheh Hilir dan Kampung Temong. Di situ terdapat sebuah kawasan perkuburan lama yang agak menyeramkan. Orang tempatan kata tempat tu ‘keras’.
Penduduk-penduduk di kampung sekitar tahu kawasan tersebut sering ‘mengusik’. Ramai yang telah mengalami peristiwa aneh sewaktu melalui kawasan perkuburan lama itu selepas pukul 12.00 malam. Paling kerap, kenderaan yang melaluinya ditumpang oleh kelibat gadis misteri yang berambut panjang.
Disebabkan itulah jalan berkenaan sentiasa sunyi selepas matahari berlabuh. Masing-masing takut hendak keluar kerana bimbang diganggu oleh gadis misteri itu. Walaupun cerita-cerita tersebut membuatkan Saiful sedikit kecut perut, tapi dia malas hendak fikir bukan-bukan. Dikuatkan sedikit bunyi radio untuk mengurangkan kegusaran.

Namun, ketika tiba di persimpangan jalan utama Kampung Temong, dia mula tak sedap hati. Ekor mata Saiful telah mengesan sesuatu yang aneh – ada bayang-bayang berwarna putih. Di bahagian tempat duduk belakang van jenazah yang dipandunya, dia seperti terlihat ada kelibat yang sedang memerhatikannya.
Mulanya, Saiful menyangka kelibat itu hanyalah pantulan bayang daripada lampu jalan. Lagipun jalan tersebut agak gelap, mungkin ia hanya mainan perasaannya semata-mata.
Apabila melalui kawasan yang berlampu, Saiful kembali mengintai melalui cermin pandang belakang untuk mengesahkan pandangan awalnya tadi. Kali ini, gambaran yang dilihatnya lebih jelas. Memang sah, ada ‘benda’ sedang menumpang vannya ketika itu. Masih tercegat tidak berganjak.
Serta-merta dia terasa seram. Puntianak kah? Pocong? Atau jelmaan jenazah yang pernah dibawanya? Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia terjun keluar.
Tanpa menoleh, Saiful amati bayangan itu melalui cermin. Apabila diperhatikan betul-betul, Saiful dapati kelibat yang menumpang vannya adalah seorang perempuan. Wajah gadis itu sungguh cantik. Kulitnya putih mulus. Matanya sedikit bersinar. Lagaknya masih muda, seperti baru berusia awal 20-an. Siapa yang memandang pasti tertawan.
Gadis itu mengenakan pakaian serba putih seperti persalinan pengantin. Rambutnya lebat, lurus dan hitam berkilat tersisir rapi ke bahu. Sebahagian kepalanya pula ditutup dengan selendang bersulam bunga – juga berwarna putih. Tetapi, dari mana perempuan ini muncul?
Namun, apabila Saiful terus memerhati, dengan tak semena-mena keadaan itu segera berubah. Rambut perempuan tadi yang pada mulanya tersisir rapi kini bertukar kusut dan mengurai sehingga paras pinggang. Wajahnya menjadi pusat lesi.
Pakaiannya yang tadi elok bertukar compang-camping. Keadaannya begitu menyedihkan. Ah, siapakah sebenarnya perempuan itu? Apa yang dia mahukan dari Saiful?
Tiba-tiba, seluruh ruang udara di dalam van bertukar bau busuk. Cepat-cepat Saiful buka tingkap kerana tak tahan dengan bau hanyir seperti darah. Seolah-olah ada limpahan darah yang membasahi van berkenaan.
Dada berdebar-debar, serta-merta Saiful merasakan bulu-bulu tengkuknya tegak meremang. Darahnya berderau. Nafasnya jadi tidak keruan. Fikiran mula bercelaru.
Hendak berhenti, atau teruskan perjalanan? Kalau berhenti, dengan siapa pula Saiful hendak meminta tolong di tengah-tengah hutan begini. Kalau teruskan perjalanan, sampai ke mana gadis itu hendak menumpangnya?
Jarak ke Kampung Lintang Sungai Siput masih jauh lagi, lebih kurang 30 minit pemanduan. Takkanlah ‘benda’ tu nak tumpang sampai ke sana?

Sekali lagi, Saiful cuba beranikan diri melihat cermin pandang belakang. Dilihatnya gadis misteri itu masih terpaku di situ dengan menundukkan wajah. Rambutnya menggerbang seperti ditiup angin.
Eh, dari mana pula datangnya angin? Mana ada tingkap di bahagian belakang van? Saiful betul-betul panik. Hendak saja dia menjerit menyuruh perempuan itu pergi, namun tidak terdaya.
Mulut Saiful mula berkumat-kamit membaca surah-surah al-Quran yang terlintas dalam kepalanya. Tunggang langgang dia membacanya. Ahh… asalkan baca sudahlah.
Tapi, gadis misteri itu tak juga pergi. Yang peliknya ia tak mengusik Saiful langsung. Mengilai tidak, bersuara pun tidak. Gadis itu hanya duduk sahaja di tempat duduk belakang membatukan diri.
Lutut Saiful mula menggigil, tapi kakinya terus sahaja menekan pedal minyak semaksimum mungkin. Dia mahu cepat sampai. Tapi, makin ditekan, vannya dirasakan semakin lambat. Berat, seperti membawa beban batu seberat satu tan.
Sesekali, siaran radio dalam van turut terganggu. Jam di dashboard pula dirasakan bergerak seperti terlalu lambat. Matanya melihat ke arah batu penanda kilometer di tepi jalan – Enggor, 4 KM. Tapi jarak itu dirasakannya terlalu jauh.
“Apa hal pulak dengan van ni… selalu okey saja. Time macam ni lah nak jadi bukan-bukan. Fuh… berat pun beratlah, asalkan boleh jalan…” rungut hati kecilnya.
Ketika tiba di Jambatan Sayong berhampiran Kampung Jemuan, Enggor, wanita yang ‘menumpang’ vannya tadi tidak semena-mena hilang daripada pandangan. Dilihat dari ekor mata, gadis itu pergi tanpa meninggalkan apa-apa pesan. Ia ghaib menembusi pintu belakang van tanpa dibuka.
Saiful segera pandang ke arah luar. Dia nampak kelibat sama yang berpakaian serba putih sedang turun ke arah sungai Perak. Gadis itu hendak pergi ke mana? Tapi yang menyeramkan ialah kakinya tidak menjejak tanah!
Vannya yang tadi berat, kini kembali lancar. Ia memecut seperti biasa. Bau busuk juga hilang serta-merta. Saiful berasa sedikit lega, tapi lututnya masih lagi menggigil. Dia bimbang kalau gadis itu muncul sekali lagi di dalam vannya.
Sambil memandu, Saiful membaca ayat-ayat suci al-Quran. Sesekali dia menjeling ke arah cermin pandang belakang. Lega, tiada `sesiapa’ di situ. Van yang dipandunya terus meluncur laju merentasi jambatan yang berusia lebih 10 tahun itu.
Ketika itu fikiran Saiful memutar ligat mencari jawapan. Siapakah sebenarnya perempuan itu? Kenapa dia menumpang sehingga ke Jambatan Sayong? Adakah rumah dia di sini, atau…
*Pencerita: Saiful Akhbar Abd. Hamid. Kejadian tersebut dialami Saiful sekitar tahun 2015 sewaktu beliau menjadi pemandu van jenazah.
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

