Rebung madu sangat digemari dan sinonim dengan orang-orang Utara, di Kedah dan Perlis serta sebahagian negeri di Selatan seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Rasa rebung madu lemak manis teksturnya lembut dan rangup. Rebung madu tidak berbau berbanding rebung biasa.
Buluh madu atau nama saintifiknya Gigantochloa albociliata, merupakan sejenis buluh. Kelebihan rebung madu, rebungnya tidak miang dan memudahkan proses mengambil dan memprosesnya.

Rebung madu banyak ditanam secara ladang di Kedah dan Perlis dan secara komersial di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Bekalan rebung jenis ini mudah didapati, banyak dijual di pasar raya dan juga pasar biasa.
Rebung madu yang juga popular di Thailand datang dari buluh khas yang agak kecil batang buluhnya. Ia sesuai juga dijadikan pokok hiasan dan penjagaannya mudah dikawal. Buluh madu yang agak renek menghasilkan rebung madu yang kecil. Setelah dijeruk ia akan menjadi warna kuning.

Cara memotong rebung madu juga agak berbeza dengan rebung biasa. Rebung biasa dipotong bulat tetapi rebung madu dijeruk biasanya dipotong memanjang. Ada juga yang dipotong pendek dan dibelah dua, kemudian dipotong berbentuk kipas tanpa putus.
Sebelum dimasak, rebung madu akan direbus terlebih dahulu kemudian dituskan. Masukkan sedikit gula untuk menghilangkan pahitnya. Bagi mereka yang tidak biasa makan rebung madu, boleh mencuba rebung ini kerana ia tidak mendatangkan bau yang kurang enak. Rebung madu yang telah siap direbus perlu disimpan di dalam peti sejuk.
Di Kedah terutamanya, gulai daging bersama rebung madu biasa dimasak untuk majlis kenduri kendara. Cara memasaknya juga mudah, sama seperti membuat gulai kawah yang menggunakan serbuk kari, dan campuran kerisik adalah rahsia keenakan resipi ini. Selain dimasak gulai kerisik, rebung madu juga enak dimasak lemak kuning ataupun dibuat acar. Saji kongsikan resipi gulai daging bersama rebung madu, dimasak stail kawah.
GULAI TULANG DAGING REBUNG MADU
BAHAN
1 kg rebung madu
2 kg tulang daging
3 sudu besar kerisik
250 gm serbuk kari
2 cawan santan
Garam dan gula
BAHAN REMPAH
5 cm kulit kayu manis
5 biji buah pelaga
5 kuntum bunga lawang
3 tangkai daun kari
BAHAN KISAR
4 ulas bawang besar
5 ulas bawang putih
5 cm halia
CARA PENYEDIAAN :
- Rebus rebung madu sehingga sedikit empuk. Angkat dan tuskan. Ketepikan.
- Panaskan minyak, masukkan bahan rempah, tumis sehingga naik bau dan masukkan bahan kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
- Masukkan pula serbuk kari yang dibancuh dengan sedikit air. Tumis di atas api kecil sehingga pecah minyak.
- Masukkan tulang daging dan air secukupnya. Rebus sehingga daging empuk.
- Setelah empuk, masukkan rebung, kerisik, gula dan garam secukup rasa. Biarkan masak sehingga kuah pekat.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

