KERAJAAN Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh melihat isu subsidi pendidikan anak golongan kaya di sekolah bantuan kerajaan sebagai sesuatu bebanan.
Demikian reaksi Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap kenyataan Perdana Menteri yang memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Menurut Tuan Ibrahim, isu pemberian dana pendidikan kerajaan kepada rakyat samada golongan kaya dan miskin tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi sahaja.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerajaan juga perlu melihat kepada sumbangan golongan kaya kepada pendapatan kerajaan dan imbangan sumbangan tersebut kepada mereka.
“Mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
“Tidak hairan, terdapat golongan miskin yang menghantar anak mereka ke institusi pendidikan yang terbaik samada dalam negara atau luar negara walaupun mereka terpaksa mengerah keringat untuk membayar yuran yang mahal.
“Ini semua tidak lain dan tidak bukan demi masa depan anak-anak mereka,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang.
Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap dalam Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 baru-baru ini memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.
Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, hasrat kerajaan untuk mengenakan bayaran pendidikan yang mahal kepada anak-anak golongan kaya dengan alasan mereka mempunyai pendapatan yang tinggi perlu diperhalusi dan dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.
Kata beliau, kerajaan sepatutnya perlu lebih kreatif untuk mencari jalan menawarkan sistem sistem pendidkan yang boleh dinikmati rakyat secara murah atau percuma.
Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan boleh melihat kepada model sistem pendidikan dan universiti yang dibiayai melalui sistem waqaf.
Jelasnya, inisiatif itu seperti mana yang dilakukan oleh Universiti Al-Azhar, Mesir atau universiti lain di dunia satu masa dahulu.
“Melalui sistem ini, pelajar miskin dibiayai melalui bantuan pendidikan atau biasiswa, atau beberapa pengecualian bayaran yuran pengajian.
“Umumnya, yang patut dibimbangi kerajaan ketika ini ialah pertambahan jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat menyambung pengajian di universiti dan memilih bekerja dalam sektor gig-ekonomi atau perkilangan.
“Negara akan terdedah kepada risiko kehilangan tenaga kerja mahir pada masa hadapan dengan situasi ini.
“Oleh itu, kerajaan harus terus memberi galakkan dan bantuan pelajar cemerlang tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram