PELAKON Nur Fazura, mendedahkan anaknya, Nur Fatima Aisya,4, tidak pernah menerima duit raya sepanjang empat tahun membesar daripada bekas suaminya, Fattah Amin.
Ujar Fazura, aktor itu berpendapatan besar selain turut mendapat penajaan dengan nilai tinggi daripada pelbagai jenama.
“Ramai juga cakap, tak kasihan ke dengan Fatima ? Sejujurnya, saya kasihan. Tapi, di sini saya pun sedih.
“Sepanjang empat tahun, Fatima tak pernah rasa duit harian dan duit raya daripada ayah dia.
“Saya sendiri pun sepanjang berkahwin dengan Fattah tak pernah rasa sekali duit raya daripada dia.
“Anda semua perlu tahu, penajaan dia beratus-ratus ribu dan pendapatan dia rasanya mencecah setengah juta. Tapi, takkanlah tak boleh bagi kepada saya dan Fatima,” katanya selepas prosiding kedua permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, Shah Alam, hari ini.

Luah Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 41, dia sebolehnya enggan memisahkan hubungan bapa dan anak walaupun antara mereka tiada lagi ikatan.
“Memang seboleh-bolehnya saya tak mahu pisahkan Fatima dengan ayahnya. Tapi, bagaimana nak hidup bersama kalau Fatima saksikan ibu bapa dia tak bahagia.
“Saya kena besarkan Fatima dengan mental yang baik, bahagia dan sebagainya,” ungkapnya.
Pada masa sama, Fazura juga mengajukan soalan kepada Fattah mengenai masa depan anaknya sekiranya puteri mereka berumah tangga kelak.
“Saya nak tanya Fattah, kalau suatu hari nanti, pasangan Fatima buat kepada Fatima seperti mana dia buat kepada saya, adakah dia bersetuju untuk teruskan dengan apa yang dia buat kepada saya?” katanya.

Fazura dan Fattah sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun berkahwin.
Lafaz talak itu dilakukan Fattah itu pada pukul 9.45 pagi tadi, di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Pasangan selebriti terbabit berumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4

