Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-15 sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia, berdasarkan edisi terbaharu The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslim 2025.

Perkara itu dikongsikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi hantaran di aplikasi X hari ini, yang mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri apabila berjaya menaikkan kedudukannya di tangga ke-15 berbanding ke-17 tahun lepas bagi kategori sama.

“Kejayaan ini menunjukkan satu teladan ketokohan dan kepimpinan yang inklusif untuk masyarakat berbilang kaum,” menurut Nga dalam hantaran berkenaan.

Berdasarkan penerbitan itu, Anwar merupakan antara 50 individu yang tersenarai sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia selain Raja Jordan, Raja Abdullah II Al-Hussein yang menduduki tangga pertama; Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul-Aziz Al-Saud (kelima); dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (ke-18).

The Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang menerbitkan buku itu juga berkata Anwar berada di tangga kesembilan bagi kategori pemimpin dan ahli politik Islam berpengaruh dunia, mengatasi Prabowo (ke-10) dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (ke-11).

Baca artikel lain: Lebih banyak pembaikan struktur ekonomi diperkenal dalam Belanjawan 2025 – PM

Penilaian ke atas mereka dibuat berdasarkan pengaruh masing-masing dalam membuat perubahan dari segi budaya, ideologi, kewangan, politik dan lain-lain ke atas komuniti Islam dan juga di peringkat antarabangsa.

Dalam pengenalan ringkas mengenai Anwar, penerbitan itu menyatakan bahawa Perdana Menteri lantang mengenai perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman Israel.

“Ibrahim (Anwar) telah menjadi penyokong lantang hak Palestin untuk menentang pendudukan. Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas yang dibunuh Allahyarham Ismail Haniyeh) telah mendapat kritikan dari Amerika Syarikat.

“Siaran media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh telah diturunkan, yang mendorong beliau untuk berkata: “Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang menindas,” menurut penerbitan itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram