MALAYSIA menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas dan mendakwa rejim zionis Israel atas kekejaman dan jenayahnya terhadap rakyat Palestin.
Kementerian Luar dalam kenyataan turut menyifatkan masa untuk bertindak telah lama tiba susulan setahun kekejaman dilakukan rejim zionis Israel terhadap Palestin berlaku.
Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra itu turut mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Menurut Wisma Putra, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tragedi Oktober lalu, genap setahun, menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.
“Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi yang kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.
Baca artikel lain: Setahun genosid Gaza: Naratif yang tidak seimbang
“Komuniti hancur dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Kementerian Luar menegaskan, kempen keganasan dan penindasan rejim zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti meskipun pelbagai rundingan, resolusi PBB dan pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat.
Tegas Wisma Putra, rejim itu tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.
“Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.
“Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima.
“Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin. Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

