Mewujudkan pengalaman praktikal bagi rangkaian Wi-Fi 7 berkuasa kecerdasan pintar (AI) yang pertama di negara ini, TP-Link Malaysia dan Universiti Malaya (UM) bekerjasama menerusi Memorandum Persetujuan (MoA) bagi menambah kecekapan pelajar dan kakitangan dalam berhubung di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT).
Langkah inovatif ini menjadikan UM sebagai universiti awam pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi Wi-Fi 7 terkini, menawarkan kelajuan yang sangat pantas, keselamatan yang dipertingkatkan, dan sambungan tanpa gangguan, sekali gus menetapkan penanda aras baru untuk pembelajaran dan penyelidikan digital di kampus.

Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Hugo Cai, berkata projek ini bakal memanfaatkan pelajar di universiti dalam mempertingkatkan pengalaman digital dan sekaligus melahirkan pakar dalam bidang berkaitan.
“Kami berbangga dan teruja untuk bekerjasama dengan UM dalam meneroka penggunaan teknologi canggih seperti Wi-Fi 7 dan penyelesaian AI bersepadu. Projek ini merupakan langkah ke hadapan dalam memacu inovasi di Malaysia, terutamanya dalam sektor Pendidikan.
“Malah kerjasama ini bakal melahirkan tenaga pakar terlatih yang dapat melalui sendiri pengalaman praktikal menggunakan teknologi terbaharu TP-Link di mana kami akan menghantar pelajar berpotensi untuk menjalani latihan industri di ibu pejabat TP-Link sama ada di Singapura, Amerika Syarikat atau China.
“Malah usahasama ini lebih menjurus kepada pelaburan TP-Link dalam melahirkan tenaga pakar terutamanya dalam bidang kejuruteraan di Malaysia untuk menyertai pasukan kami. Kami mahu memberi pendedahan awal kepada mereka menerusi projek ini dan bangunkan potensi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Maklumat Universiti Malaya, Prof. Ts. Dr. Nor Badrul Anuar Juma’at berkata projek ini dapat membantu warga UM dalam meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran, di mana rangkaian ini mampu menguruskan trafik yang tinggi dan menawarkan sambungan yang konsisten di seluruh kampus.
“Dengan keupayaan menyesuaikan diri secara pintar mengikut keperluan pengguna, sistem ini akan menyediakan akses internet yang pantas dan boleh dipercayai kepada warga university apabila diperlukan.
“Melalui kerjasama ini, kami berharap TP-Link dapat membantu UM dengan menyediakan lebih banyak PoC (proof of concept) untuk menunjukkan bahawa produk mereka mampu memberikan liputan yang lebih baik kepada para pelajar. Kami juga telah berbincang dengan TP-Link mengenai kerjasama lanjut untuk menggunakan beberapa produk mereka sebagai PoC di kawasan lain di kampus UM, jadi kerjasama ini bukanlah terhad kepada fakulti ini sahaja,” katanya.
Projek ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ang Tan Fong, dengan sokongan pasukannya termasuk Prof. Ir. Dr. Chan Chee Seng dan Profesor Madya Dr. Ling Teck Chaw dalam memastikan pelaksanaan teknologi ini berjalan lancar serta menyokong matlamat digital UM dalam pendidikan.
Pelancaran projek ini mencerminkan dedikasi UM untuk menerima pakai teknologi canggih yang memacu kecemerlangan akademik dan menempatkan universiti terkemuka negara ini di barisan hadapan inovasi. Rangkaian Wi-Fi 7 berkuasa AI ini bukan sahaja akan meningkatkan akses internet, tetapi juga membolehkan pemantauan keselamatan yang lebih baik, pengurusan rangkaian yang lebih cekap, dan analitik data melalui teknologi AI.
TP-Link Malaysia akan melengkapi kawasan utama di FCSIT, termasuk Dewan Kuliah 1, Dewan Kuliah 2, dan makmal pembelajaran rangkaian dengan teknologi Wi-Fi 7. Teknologi tanpa wayar terkini tersebut bakal memberikan manfaat kepada lebih 750 pengguna di fakulti berkenaan, menjadikan UM universiti awam pertama di Malaysia dilengkapi dengan rangkaian berprestasi tinggi seperti ini.
Selain itu, sistem ini juga mampu bertindak balas secara automatik terhadap ancaman keselamatan serta memudahkan pengurusan rangkaian melalui papan pemuka berpusat yang intuitif, menjadikan sambungan lebih mudah dan cekap untuk semua.
Kerjasama selama tiga tahun ini akan menyaksikan TP-Link menyediakan peralatan dan sokongan teknikal bernilai sehingga RM300,000. Setelah projek selesai, semua peralatan akan diserahkan kepada dan diuruskan oleh UM, mengukuhkan lagi komitmen universiti untuk melangkah ke arah memperkukuhkan infrastruktur digitalnya di masa hadapan.

