KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah memulakan gerak kerja 100 saintis menyertai program langkau luar ke 100 sekolah pada awal bulan ini, dalam usaha meningkatkan minat pelajar sekolah kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Chang Lih Kang, berkata program membabitkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari tempoh pelaksanaan itu, diharap dapat menghasilkan impak signifikan dalam peningkatan minat pelajar sekolah kepada bidang berkenaan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Julai lalu, meminta MOSTI menyenaraikan 100 saintis tempatan bagi melaksanakan Program Jangkau Luar ke 100 sekolah,” katanya berucap pada majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2024 Peringkat Perlis di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei, pada majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Lih Kang berkata, selaku kementerian yang menyelia bidang STI di negara ini, antara inisiatif utama MOSTI ialah menyemarakkan dan mempergiatkan aktiviti pembudayaan STI dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan belia melalui aktiviti pembelajaran secara bukan formal serta luar bilik darjah.
Baca artikel lain: KKM tak pernah naikkan kos rawatan hemodialisis di fasiliti miliknya – Menteri
Beliau berkata, penganjuran karnival minggu sains di Perlis adalah yang keempat dilaksanakan selepas Kuala Lumpur, Kelantan dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Mohd Shukri dalam ucapan perasmiannya berkata program berkenaan sangat sesuai diperkenalkan dan dibudayakan bagi menarik minat rakyat setempat khususnya golongan sasar membabitkan pelajar dan belia dalam bidang teknologi.
Beliau turut menggesa guru terus aktif dalam aktiviti STI dan menyokong pelaksanaan Minggu Sains Negara 2024, menerusi pengisian program bulanan secara fizikal dan secara dalam talian yang disediakan pihak MOSTI.
“Saya juga berharap anak Perlis menggarap sebanyak mungkin peluang dan manfaat yang akan diperoleh melalui inisiatif kerajaan ini, dalam membudayakan STI secara bersepadu demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan terus memberikan sokongan dan komitmen jitu kepada MOSTI, khususnya dalam menjayakan pelaksanaan Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics, Pertandingan Akhir Kebangsaan 2024 yang akan dilaksanakan di Putrajaya pada bulan depan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

