Salah guna duit infak lebih RM60,000, kes Alif Teega dipindah ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan agar pertuduhan salah guna harta bagi program infak iftar dan korban berjumlah RM63,605.48 ke atas pempengaruh, Alif Teega, dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin agar kes itu dibicarakan bersama 10 lagi pertuduhan atas kesalahan yang sama di Shah Alam mengikut Seksyen 61 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen. Namun, pihak pembelaan memohon agar kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama mengikut Seksyen 61 Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohd Shahrullah Khan yang mewakili Alif memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan tiada bantahan berhubung permohonan tersebut.

“Sekiranya diizinkan, kami memohon agar satu tarikh awal ditetapkan bagi sebutan kes di Shah Alam kerana pihak pembelaan ada membuat permohonan untuk mendapatkan pasport sementara (yang disimpan oleh mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan) ,” tambahnya.

Selepas mendengar pernohonan kedua-dua pihak, Hakim Azura kemudian mengarahkan agar pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Kes kamu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, dan jaminan dilanjutkan,” ujarnya.

Beliau turut menetapkan Rabu ini (23 Oktober) sebagai tarikh sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah alam.

Sebelum ini pada 20 September 2024 Alif Teega atau nama sebenarnya Mohd Hazalif Mohd Hazani, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura atas dua pertuduhan salah guna wang dana infaq pada April serta Jun lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang RM36,047.35 bagi tujuan infaq iftar di Makkah, Syria dan Palestin di CIMB Bank, KL Gateway, di sini pada 26 April lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyalahgunakan wang RM27,558.13 bagi program ‘Jom! sertai infaq daging Qurban’ di bank sama, 15 Jun lalu, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, pada 23 September lalu, Alif didakwa lagi bersama-sama isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, di Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana pasangan itu mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan menyalahgunakan wang infak berjumlah lebih RM1.53 juta, tiga tahun lalu.

Pada prosiding di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud itu, mereka didakwa mencapai niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta.

Wang derma itu antaranya untuk projek infak kurma, infak al-Quran di Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Al-Nabawi, Madinah, infak pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, infak bantuan dan sedekah set pakaian untuk mangsa banjir, sedekah set pakaian raya untuk anak-anak yatim serta sedekah ibadah korban di Makkah.

Jumlah paling besar didakwa disalah guna adalah RM425,890.64 iaitu bagi tujuan infaq bantuan mangsa banjir sementara paling rendah pula adalah RM438.38 iaitu bantuan set pakaian muslimah untuk bantuan mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara Mei 2021 hingga Julai lalu di dua cawangan bank berbeza di Seksyen 8 dan 9, Bandar Baru Bangi mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemandu Lexus positif dadah rempuh remaja hingga maut

SEORANG remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah yang terbabas ke laluan...

More Articles Like This