PEMBANGKANG seharusnya tampil dengan cadangan yang lebih baik menerusi belanjawan alternatif sekali gus menonjolkan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menunjukkan bahawa mereka mempunyai cadangan lebih baik, bukan sekadar menghentam tanpa ada cadangan lain.
Menurut Muhamad Akmal, PN boleh kekal dengan mentaliti sedemikian sekiranya memang benar tiada alternatif untuk cadangan lebih baik.
“Memang benar tanggungjawab menyediakan bajet adalah tanggungjawab kerajaan.
“Tetapi rakyat juga nak menilai alternatif bajet yang boleh diberikan oleh pembangkang, supaya rakyat boleh menilai dengan sendiri mana yang lebih baik atau tidak.
“Melainkan memang pihak PN tidak ada alternatif, maka kekal lah dengan mentaliti begini. Ingin kekal jadi pembangkang kosong selamanya. Lemah!,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal turut mengingatkan semua pembangkang di Perlis, Kedah dan Kelantan supaya menunjukkan sikap lebih baik dengan menyediakan belanjawan alternatif.
“Tolong jangan bagi alasan sebegini juga, tunjukkan anda mampu untuk bagi idea yang lebih baik jika mahu menjadi kerajaan negeri. Rakyat memerhati, rakyat menilai,” katanya.
Baca artikel lain: PN tak perlu bentang belanjawan alternatif – Tuan Ibrahim
Rabu lalu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan bahawa PN tidak perlu membentangkan belanjawan bayangan sebagai alternatif kepada belanjawan tahunan yang dibentangkan kerajaan.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, pihak yang ingin melihat belanjawan dibentangkan PN perlu menunggu sehingga gabungan itu mengambil alih kerajaan.
Beliau berkata, pembangkang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan, bukannya dilaksanakan menerusi penyediaan belanjawan alternatif.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempersoalkan PN yang tidak pernah membentangkan belanjawan bayangan seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang sebagai saingan kepada belanjawan kerajaan.
Tze Tzin berkata, belanjawan bayangan daripada pembangkang itu penting sebagai sebahagian langkah semak dan imbang kepada kerajaan melalui cadangan yang membantu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

