KERAJAAN MADANI sedang mempertimbangkan tawaran daripada syarikat Ocean Infinity (England) yang mahu meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan pesawat MH370 di satu lokasi baharu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tawaran yang dikemukakan kepada pihaknya pada Jun lalu itu meliputi lokasi pencarian seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.
Kata beliau, tawaran itu adalah berdasarkan prinsip “no find, no fee‘ yang mana kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat tersebut sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.
“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut.
“Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity ialah cadangan yang kukuh (credible) dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, aspirasi kerajaan untuk mencari bangkai pesawat MH370 tidak akan diabaikan.
Katanya, operasi pencarian selanjutnya akan dipertimbangkan oleh kerajaan sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu yang sahih dan kukuh diperoleh.
“Ini merupakan pendirian yang konsisten oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.
Ganjaran kepada syarikat Ocean Infinity sekiranya MH370 ditemui
Sementara itu, menjawab soalan ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin sama ada perjanjian mengenai ganjaran sebanyak USD70 juta perlu dibayar sekiranya Ocean Infinity berjaya menjumpai MH370, Loke berkata, perkara itu sedang dirundingkan.
Kata Loke, ganjaran yang diminta syarikat itu ketika ini adalah sama seperti mana perjanjian yang dilakukan kerajaan pada 2018 sebelum ini.
Jelas Loke, setakat ini, kerajaan tidak pernah melakukan sebarang bayaran kepada syarikat berkenaan memandangkan pesawat MH370 masih belum dijumpai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

