WANITA yang sebelum ini menjadi buruan polis, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menipu dalam urusan pelaburan emas terhadap seorang pesara kerajaan sehingga melibatkan kerugian lebih RM26,000 pada Mei lalu.
Tertuduh, Siti Hajartul Haini Abd Hamid, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret S Mageswary.
Mengikut kertas pertuduhan, ibu kepada empat orang anak itu didakwa menipu mangsa, Mohd Zahid Ibrahim, 50, dengan memperdayakannya melalui urusan pelaburan emas Paddy Jewellery bagi mempercayai bahawa dia akan mendapat keuntungan sepertimana yang dijanjikan oleh tertuduh.
Perbuatan itu telah dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM26,750 ke akaun bank CIMB atas nama syarikat tertuduh iaitu Pawana Sweet, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Simpanan Nasional (BSN) Jalan Raja Muda Abdul Aziz dekat Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 12.20 tengah hari pada 2 Mei 2024.
Justeru, pertuduhan ke atas Siti Hajartul itu dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga 10 tahun, dan sebat, dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah membenarkan jaminan yang rendah memandangkan dia dan suami tidak berkerja, menanggung empat orang anak serta bapa mentuanya.
“Suami saya juga sedang menerima rawatan bagi demam denggi dan menghidap penuakit darah tinggi serta asma,” katanya.
Majistret Mageswary kemudian membenarkan RM3,000 dengan seorang penjamin selain mahkamah menetapkan 20 Disember depan bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini, Siti Hajartul ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 22 Oktober lalu sejurus dia tiba dari Dubai.
Terdahulu media turut melaporkan pihak polis sedang memburu seorang wanita yang disyaki mendalangi kegiatan penipuan penjualan emas dengan memperdaya orang ramai membeli emas dengan harga murah membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

