Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAJLIS Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir terus menjadi pemangkin dalam mengubah persepsi masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Anugerah tahunan itu memperlihatkan bidang TVET sebagai pilihan kerjaya berprestij dan berpotensi tinggi terutamanya untuk bakat muda.

Pada edisi tahun ini, MATEPM mengiktiraf pencapaian luar biasa yang ditampilkan pemenang bagi Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) yang dianjurkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Anugerah tertinggi bidang TVET negara itu diberikan kepada pelajar Sijil Teknologi Kejuruteraan Bangunan Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu, Misto Mikin yang cemerlang dalam kategori penurapan bata bagi WSMB dan pengajar bidang elektronik Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Muhammad Muhyddin Mohamad Ibrahim yang mengungguli WSMP.

Selain itu, Anugerah Tokoh Mahir dirangkul pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group Datuk Seri P. Ganes atas sumbangannya dalam mengarusperdanakan TVET serta memperkasakan sistem pensijilan kemahiran negara.

Ganes melalui institusi latihan yang diusahakannya, menawarkan program latihan yang inovatif dan relevan dengan keperluan semasa termasuk dalam bidang teknologi baharu muncul, kenderaan elektrik serta kecerdasan buatan.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir disampaikan kepada pemenang oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada MATEPM yang diadakan di sini hari ini.

Dalam pada itu, JPK turut menganjurkan pertandingan JuniorSkills Malaysia (JSM) dan WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).

JSM diperkenalkan bertujuan memilih dan mengiktiraf pelajar sekolah berumur 16 tahun dan ke bawah yang berpotensi selain memberi pendedahan mengenai TVET bagi memupuk minat generasi muda menceburi kerjaya berasaskan kemahiran.

WSMUC pula adalah inisiatif JPK bersama Universiti Kuala Lumpur untuk memperkenalkan kemahiran masa depan iaitu bidang yang berkaitan dengan Revolusi Industri (4.0 kepada pelajar institut pendidikan tinggi.

Secara keseluruhan, Pertandingan WorldSkills Malaysia yang berlangsung pada 14 Mei hingga 4 Okt lepas melibatkan 1,537 peserta di peringkat prakelayakan dan 457 peserta di peringkat akhir.

Sebanyak 37 bidang dipertandingkan bagi kategori WSMB, tujuh (WSMP) dan empat (JSM).

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare