Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENDEKATAN strategik Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 2024 termasuk untuk memastikan ekonomi global yang berdaya tahan dan inklusif.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata selain itu MITI juga akan memastikan ia meneraju keterangkuman digital, memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang berhemah serta menggalakkan pelaburan digital, pelaburan lestari dan pertumbuhan sosioekonomi yang mampan.

“Dari sudut Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan, MITI akan berusaha mengukuhkan konsep kepusatan dan sifat berkecuali ASEAN di mesyuarat APEC ini kerana ASEAN sememangnya berpotensi untuk menjadi “kuasa pertengahan” dalam kancah ketidaktentuan geopolitik dunia semasa,” katanya menerusi hantaran di laman sosial media beliau.

Tengku Zafrul berkata kerjasama ekonomi di rantau Asia Pasifik sepatutnya berdasarkan kedaulatan undang-undang agar ia menguntungkan kesemua ahlinya, aspirasi yang dicerminkan menerusi tema APEC tahun ini “Empower. Include. Grow.”

Baca artikel lain: Presiden Peru akan berkunjung ke Malaysia pada akhir tahun depan – PM

“Pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diselaraskan oleh MITI adalah untuk memastikan agar tema tersebut benar-benar menguntungkan Malaysia dari segi peningkatan perdagangan dan pelaburan, dalam suasana global yang aman damai,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan selamat tiba di Lima, Peru pada 12 November untuk lawatan rasmi dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) yang berlangsung dari 14 hingga 16 November.

Selain Tengku Zafrul, Perdana Menteri juga diringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii serta para pegawai kanan kerajaan.

Lima, ibu negara Peru dengan populasi seramai 11.36 juta orang menjadi tuan rumah mesyuarat APEC buat kali ketiga selepas 2008 dan 2016.

Negara Amerika Selatan itu bersempadan dengan Ecuador dan Colombia di bahagian utara dan Brazil di bahagian timur.

Malaysia dan Peru adalah ahli Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Peru bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 berjumlah RM1.16 bilion, meningkat 36.3 peratus daripada RM847.7 juta dalam tempoh yang sama pada 2023.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare