KEPAKARAN yang dimiliki Space42, sebuah pusat inovasi teknologi angkasa dalam kecerdasan buatan (AI) dan sambungan satelit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuh infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Pada Khamis, Ahmad Zahid bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan ke Space42 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Space42 merupakan pusat inovasi yang memanfaatkan teknologi AI, komunikasi satelit dan analitik geospatial.
Baca artikel lain: KDN perlu jelaskan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
Program bersempena lawatan rasmi beliau selama tujuh hari ke UAE bermula 13 Nov itu menandakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan UAE dengan memanfaatkan teknologi canggih untuk memacu pertumbuhan mampan, meningkatkan ketahanan serta memperkukuh kerjasama serantau.
“Melalui kerjasama strategik ini, saya optimis bahawa kita mampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Insya-Allah,” katanya.
Ahmad Zahid dijadual merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 dan bertemu dengan pihak berkepentingan dalam sektor halal UAE sebagai usaha mempromosi dan menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

