Siri pertama jelajah PETRA Skuad Zon Selatan bermula di Melaka

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama pengurusan tertinggi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta agensi di bawahnya telah memulakan siri pertama jelajah PETRA Skuad Zon Selatan bermula di Melaka, semalam.

PETRA dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif itu adalah untuk untuk meninjau dan mendapatkan maklum balas langsung mengenai isu tenaga dan air tempatan serta mencari solusi terbaik dalam merangka pelan tindakan bagi memastikan bekalan yang berterusan, mampan, inklusif dan selamat demi kesejahteraan rakyat. 

Jelas kenyataan berkenaan, PETRA Skuad turut sama menekankan agenda penguatkuasaan dan memperkasa pelaksanaan dasar dalam sektor tenaga dan air oleh PETRA dan agensi-agensi di bawahnya.

PETRA memaklumkan, acara utama dalam siri PETRA Skuad Zon Selatan (Melaka) adalah Majlis Serahan Projek Siap kepada Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Bougainvilla, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Lawatan ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1 Melaka.

Siri pertama jelajah PETRA Skuad Zon Selatan Bermula di Melaka, semalam.

Dalam majlis berkenaan, Fadillah merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menyaksikan penyerahan lima projek siap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Melaka.

Menurut kenyataan, ia melibatkan peruntukan Persekutuan berjumlah RM28.6 juta yang terdiri daripada dua Projek Pemuliharaan Muara, satu Projek Mencegah Hakisan Pantai dan dua Projek Pembinaan Stesen Hidrologi.

Fadillah merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menyaksikan penyerahan lima projek siap daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Melaka.

“Antaranya adalah Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai di Negeri Melaka – Muara Sungai Baru, Melaka; Projek Pemuliharaan Muara-Muara Sungai di Negeri Melaka – Muara Sungai Punggor, Melaka; Projek Mencegah Hakisan Pantai Telok Gong, Alor Gajah, Melaka.

“Selain itu, kerja-kerja Pemasangan dan Naiktaraf Peralatan Mekanikal dan Elektrikal Bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN) serta Kerja-kerja Yang Berkaitan di Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan Dan Melaka (Zon 1) dan Projek Pembinaan Stesen Hidrologi Telemetri dan Kerja-kerja Berkaitan di Negeri Melaka Untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 2,” jelas kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, penyelesaian tiga projek pemuliharaan muara dan hakisan pantai bakal memberi manfaat dan perlindungan kepada seramai hampir 1,000 penduduk dan nelayan daripada risiko banjir pantai dan hakisan pantai di kawasan tersebut.

Sementara itu, projek pembinaan 14 stesen hidrologi yang melibatkan tiga buah di Melaka Tengah, 5 buah di Alor Gajah dan enam lagi di kawasan Jasin pula akan memberikan lebih manfaat penduduk sekitar dengan memberi amaran awal kepada penduduk sebelum berlakunya bencana banjir.

Dalam pada itu, Fadillah bersama rombongan PETRA Skuad turut meninjau tapak Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Alor Gajah Fasa 1.

Jelas kenyataan berkenaan, ia bertujuan untuk melihat perkembangan projek RTB bernilai RM30 juta yang telah mula dilaksanakan di tapak sejak Ogos 2022 serta dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2025.

Menurut PETRA, melalui pelaksanaan projek itu, dijangkakan seramai 1,275 penduduk di kawasan persekitaran dengan keluasan 418 hektar akan terhindar dari risiko bencana banjir.

Sementara itu, antara acara yang terlibat sepanjang jelajah PETRA Skuad adalah persinggahan ke EV GENTARI Charger di Hentian Sebelah Senawang; tinjauan Ops Sedut Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. di Masjid Ar-Rasyidin, Alor Gajah; kunjungan ke i 2 Solar Park, Masjid Tanah, Melaka; lawatan ke tapak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih, Alor Gajah; tinjauan inisiatif pemasangan Melaka Smart Metering serta operasi pemeriksaan penggunaan perangkap gris di premis makanan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan sesi
pemeriksaan kelengkapan elektrik di premis peruncit oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Ayer Keroh, Melaka.

Ops Sedut IWK di Masjid Ar-Rasyidin

Mengulas mengenai Ops sedut IWK di Masjid Ar-Rasyidin, ia adalah program kesedaran bersama komuniti dalam meningkatkan lagi kefahaman semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki septik untuk elak risiko pencemaran kepada saliran awam.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Caj Perkhidmatan Pembetungan) 2022, caj perkhidmatan pembentungan premis domestik bagi pengosongan tangki septik adalah berjumlah RM192 bagi setiap perkhidmatan.

Tangki septik adalah sistem pembetungan tidak bersambung yang digunakan oleh premis untuk menyimpan air kumbahan dan enapcemar secara sementara.

Ia perlu dikosongkan secara berkala sekurang-kurangnya dua tahun sekali, tertakluk kepada kapasiti tangki dan isi rumah.

Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual. Kegagalan mematuhi peraturan adalah kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50,000.

Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta pengguna tangki septik dan perlu dikosongkan secara berkala iaitu sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun.

Bagi negeri Melaka, terdapat kira-kira 67,009 pengguna tangki septik yang perlu menjalani proses nyahenapcemar secara berkala bagi memastikan tangki tidak penuh dan sistem pembetungan terjaga.

Jumlah notis pengosongan tangki septik yang telah dikeluarkan setakat Oktober 2024 adalah sebanyak 31,797 dan 2,736 (8.60 peratus) sahaja pemilik premis setuju mengosongkan tangka septik mereka.

Melalui program OPS SEDUT IWK, pemilik tangki septik di Melaka digalakkan untuk menjalankan nyahenapcemar secara berkala.

Pengosongan tangki septik yang akan dijalankan di Masjid Ar-Rasyidin dan tangki masjid ini adalah sebesar 5.0m3 yang mana perkhidmatan pengosongan tangki septik yang disediakan IWK untuk rumah-rumah ibadah adalah percuma.

Tinjauan ke lokasi EV Gentari Charger Station Senawang

Mengulas mengenai Dasar Pembangunan EV Negara, Malaysia menyasarkan pembangunan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025.

Ia terdiri daripada 9,000 unit pengecas arus ulang alik (AC) dan 1,000 unit pengecas arus terus (DC) pantas, seperti digariskan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030.

Sehingga kini, 3,171 stesen pengecas EV telah dibangunkan yang mana daripada jumlah tersebut, 2,358 adalah pengecas arus ulang-alik dan 813 adalah pengecas pantas arus terus.

Sebanyak 4,155 lagi stesen pengecas di dalam perancangan pemasangan.

Untuk rekod, Gentari dan EV Connection (EVC), merupakan pengendali rangkaian Pengecasan EV JomCharge yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Gentari dan EV Connection (EVC), merupakan pengendali rangkaian Pengecasan EV JomCharge yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

Gentari dan EVC telah memperkenalkan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama di Asia Tenggara yang dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).

Stesen pengecas yang dibangunkan Gentari di Lebuhraya PLUS ini adalah gandingan Kerjasama PLUS, Gentari adan EVC dan merupakan langkah strategik dalam menyediakan kemudahan pengecasan EV yang boleh dipercayai, selain menyokon usaha pelaksanaan pelan induk negara untuk beralih menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

Stesen pengecas yang dibangunkan Gentari di setiap stesen hentian lebuh raya dilengkapi dengan pengecas pantas DC yang menawarkan kuasa pengecasan sehingga 200 kW dan mempunyai empat titik pengecas di setiap lokasi.

Lokasi Stesen Pengecasan EV Gentari sedia ada di Lebuhraya PLUS adalah di Hentian Sebelah Behrang, Perak (Utara dan Selatan) dan Hentian Sebelah Senawang, Negeri Sembilan (Utara dan Selatan).

Lokasi stesen pengecasan EV Gentari yang akan dibangunkan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula adalah di Hentian Sebelah Ajil, Terengganu dan Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, Terengganu.

Pembangunan Gentari EV Charger merupakan antara langkah penting mengatasi limitasi punca kuasa pengecasan di kawasan RnR lebuh raya, serta menyediakan pengecasan yang pantas yang selamat untuk pengguna.

Kerajaan mengalu-alukan usaha sedemikian yang menyokong komitmen negara untuk mencapai matlamat kelestarian.

Pelaksanaan inisiatif pengecas EV ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong usaha peralihan tenaga negara dan juga galakkan ke arah mobiliti atau pengangkutan rendah karbon.

Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih, Melaka

Bagi projek pembinaan TAPS, objektifnya adalah membina muka sauk dan TAPS/empangan dengan kapasiti takungan 14,000 juta liter sumber air mentah bagi menampung keperluan pertambahan penduduk di Melaka sehingga 2030.

TAPS/empangan dengan kapasiti takungan 14,000 juta liter sumber air mentah akan dibina bagi menampung keperluan pertambahan penduduk di Melaka sehingga 2030.

Inisiatif itu secara tidak langsung akan dapat membantu mengurangkan kebergantungan sumber air mentah dari Johor.

Apabila siap, pertambahan kapasiti air mentah akan menyumbang kepada bekalan air untuk memenuhi keperluan pengguna di daerah Alor Gajah bagi mengatasi masalah kekurangan sumber air terutama di musim kemarau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lelaki maut ditikam rakan, mayat dihumban dalam pembetung

SEORANG lelaki maut akibat ditikam rakan di kawasan tapak pembinaan di belakang sebuah bilik pameran kenderaan di Iramanis, Kota...

More Articles Like This