PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan dirinya segan dengan panggilan ‘biduanita’ selepas menerima pengiktirafan daripada Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang membawa gelaran Biduanita Negara, baru-baru ini.
Bagaimanpun, dia lebih selesa untuk terus disapa sebagai Siti.
“Segan sebenarnya dengan gelaran Biduanita…panggil saja Siti macam biasa.
“Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu rumah tangga.
“Saya juga masih lagi menjalankan bisnes dengan menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab,” katanya kepada URTV.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media dan Pelancaran Rasmi single Sejarah di The Roomah, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, sepanjang hampir tiga dekad aktif dalam industri muzik, Siti tidak pernah mengimpikan sebarang anugerah sebagai kredit kepada hasil kerjanya.
Sebaliknya, penyanyi berusia 45 tahun itu meletakkan kualiti ketika bekerja pada tahap terbaik sekaligus dapat membuatkan peminat berpuas hati dengan persembahannya.
“Bagi saya anugerah akan datang dengan sendirinya apabila kita bekerja keras.
“Bukan tidak menghargai watikah diberikan, saya bersyukur dan ia satu penghormatan yang besar.
“Tak terlintas pun akan diberikan pengiktirafan sebesar ini kerana saya lebih utamakan kepuasan peminat, hati saya senang jika melihat peminat berpuas hati dan terhibur,” ujarnya.
Sementara itu, Siti turut memberikan pesanan kepada pelapis baharu yang memiliki impian agar meneruskan hasratnya itu namun perlu hadir dengan usaha.
Menjadikan dirinya sebagai contoh yang mana sebelum dia pernah bermimpi untuk mengadakan konsert di Royal Albert Hall London dan impian itu tercapai pada 2005.
“Bermimpilah kerana setiap orang berhak untuk bermimpi dan berangan-angan.
“Selain bermimpi mengadakan konsert dia Royal Albert Hall, saya juga pernah berangan mengadakah konsert sebelum usia 19 tahun dan cita-cita itu juga menjadi kenyataan.
“Anak muda atau artis yang ingin mengejar mimpi setinggi manapun perlu datang bersama usaha.
“Jangan mudah rasa puas atau rasa bagus tetapi sentiasa belajar untuk perbaiki kekurangan.
“Kalau ada artis baru yang lebih bagus, tidak salah untuk kita belajar dan berkolaborasi dengan mereka,” akhirinya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

