PELAKSANAAN hukuman sebat terhadap individu yang melakukan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu Jumaat ini ditangguhkan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penangguhan itu susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah, semalam.
Katanya, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara itu digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah.
“Hukuman sebatan ini adalah satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir dan antara tujuan adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain.
“Hukuman berkenaan akan tetap dilaksanakan di lokasi sama dalam tempoh terdekat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.
Baca artikel lain: KKDW sedia rumah baharu, baik pulih kediaman di desa terjejas banjir – TPM
Media pada 20 November lalu melaporkan seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Kamalruazmi menjatuhkan hukuman enam sebatan, denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya jika gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap tertuduh.
Tambah Muhammad Khalil, permohonan itu dikemukakan agensi berkaitan bagi memastikan ia berjalan dengan lancar.
“Permohonan semakan ini, ia boleh berlaku daripada mana-mana pihak demi untuk melihat satu-satu hukuman itu berjalan dengan lebih teratur dan tersusun,” katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada wujud tekanan daripada pihak tertentu termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muhammad Khalil menegaskan penangguhan semakan itu tidak mempunyai kaitan dengan pihak yang berkenaan.
“Tiada kaitan, kita nak supaya hukuman ini dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

