Sebanyak 998 unit teres Rumah Mampu Milik (RMM) akan ditawarkan kepada rakyat berpendapatan rendah di Melaka, bermula pada harga serendah RM70,000 sehingga RM180,000 seunit.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran satu keluarga satu rumah. Inisiatif itu diteruskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menerusi perjanjian pembangunan RMM yang dimeterai bersama TT Gratia Land Development Sdn Bhd dan dijangka siap pada 2027.
“Sebanyak 100 unit rumah kos rendah (RKS) bakal dibina dengan harga RM70,000 seunit, 100 unit rumah kos sederhana rendah (RKSR) berharga RM120,000 seunit dan 778 unit RMM jenis A dengan harga RM180,000 seunit.
“Saya berharap agar rakyat Melaka mengambil peluang ini memandangkan Melaka masih mengekalkan status negeri yang menawarkan harga pasaran rumah terendah di Malaysia termasuk RMM di bawah harga RM200,000,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara LPM dan TT Gratia Land Development di Seri Negeri.

Pengarah Urusan TT Gratia Sdn Bhd, Datuk Dr. Tan Wei Joon berkata, kerjasama pertama pihaknya bersama LPM diharap dapat membantu mereka yang berpendapatan rendah bagi memiliki rumah pertama.
“Pemohon perlu memohon melalui laman web Lembaga Perumahan Melaka dan hanya yang layak memenuhi kriteria akan dipilih. Senarai perumahan ini hanya akan dibuka untuk tempahan bermula pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Rakyat Trustee Berhad (RTB), Faudzi Mt Din berkata, pihaknya akan menjadi pemegang amanah bagi dana pelaburan untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian yang dimeterai dan memantau tadbir urus pihak terlibat.

