PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MyDigital ID dan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk menyelesaikan beberapa isu berbangkit berhubung inisiatif MyDigital ID dan Rangkaian Kedua 5G dalam bulan ini juga.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri merasakan kedua-dua inisiatif tersebut sepatutnya diuruskan dengan lebih pantas.
Beliau berkata, perkara itu ditegaskan Anwar dalam mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Berhubung MyDigital ID, Fahmi berkata, Perdana Menteri memberi tempoh dua minggu kepada pihak MyDigital ID, bermula dari hari Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada Rabu lalu, untuk memutuskan mengenai langkah meningkatkan jumlah pengguna dan mereka yang sudah mendaftar bagi sistem itu.
“Antara perkara yang dibangkitkan mengenai MyDigital ID adalah pada tanggapan Perdana Menteri berhubung kelewatan dalam melaksanakan program MyDigital ID.
“Perdana Menteri merasakan jumlah pendaftaran bagi inisiatif itu masih terlalu rendah dengan hanya 1.319 juta orang mendaftar setakat pukul 1 petang semalam.
“Isu dengan MyDigital ID berkait langsung dengan keperluan untuk usaha ini dilipatgandakan.
“Perdana Menteri telah memberikan tempoh masa yang singkat dalam dua minggu daripada mesyuarat tempoh hari dan satu keputusan akan dibuat mengenai apa yang perlu dilakukan untuk meningkatkan jumlah pengguna pengguna dan mereka yang telah mendaftar dalam sistem tersebut,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet.
Baca artikel lain: RUU Majlis Media Malaysia dibentang minggu depan – Fahmi
Dalam pada itu, Fahmi berkata, DNB pula diberi masa sehingga minggu hadapan untuk membentangkan pelan perniagaan baharu kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia susulan kelewatan pelaksanaan projek rangkaian kedua 5G akibat rundingan dengan syarikat telekomunikasi yang masih tertangguh.
Beliau berkata, MCMC telah meminta DNB membentangkan pelan perniagaan baharu untuk diteliti bagi isu peruntukan spektrum tambahan.
“DNB bukan di bawah Kementerian Komunikasi, jadi saya tak terlibat dalam pengurusannya tetapi bagi MCMC yang diketengahkan adalah keperluan bagi kedua-dua rangkaian iaitu rangkaian pertama dikelolakan DNB dan rangkaian kedua dikelolakan pihak U Mobile perlu memberikan pelan perniagaan.
“MCMC memaklumkan bahawa U Mobile telah membentangkan pelan perniagaan pada awal minggu ini manakala DNB diberikan masa sehingga minggu depan untuk memberikannya.
“Mereka memohon sehingga Januari tetapi Perdana Menteri meminta supaya diberikan pada bukan ini juga,” katanya.
Semalam, Anwar dilaporkan berang dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan yang agak keras ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), kelmarin.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
Tindakan itu kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengundang rasa terkejut kepada kalangan mereka yang hadir termasuk menteri Kabinet.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

