Ayam berempah antara menu kesukaan ramai. Naknya bila digoreng panas-panas, garing dan rangup kulitnya memang tak cukup seketul. Saji kongsikan resipi ayam berempah ini, gerenti sedap dan semestinya menjadi. Tipnya mudah, bahan yang dikisar perlulah diperap dengan ayam semalaman, sebelum digoreng barulah rasanya mantap!
Ketika menggoreng, api jangan terlalu besar. Cukup sekadar api sederhana dan pastikan minyak betul-betul panas, ketika menggoreng. Barulah ayam masak sekata. Untuk lebih wangi, boleh masukkan daun kari ketika ayam hampir masak. Nak sedap lagi, cicah dengan air asam. Barulah terangkat!
Ayam Goreng Berempah Cicah Air Asam
BAHAN
1 ekor ayam – potong 14
3 sudu besar tepung beras
3 sudu besar tepung ayam goreng segera
1 sudu besar serbuk rempah kari
Gula secukup rasa
Garam secukup rasa
Minyak masak untuk menggoreng
BAHAN KISAR
6 ulas bawang putih
3 cm halia
3 cm lengkuas
3 batang serai
6 tangkai cili kering
1 sudu kecil biji ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
BAHAN AIR ASAM
5 tangkai cili merah
5 tangkai cili padi
3 cm belacan
1 cawan air asam jawa
2 sudu besar gula merah
1 sudu besar kerisik
3 tangkai daun kesum – cincang kasar
1 biji tomato – potong kiub kecil
1 batang bunga kantan– cincang halus
CARA PENYEDIAAN :
- Ayam dibersihkan dan dituskan airnya. Ketepikan.
- Kisar ke semua bahan kisar sehingga halus.
- Campurkan tepung beras, tepung ayam goreng segera, garam, gula dan bahan kisar di dalam bekas yang besar.
- Masukkan ayam dan gaul sehingga sebati. Perapkan semalaman atau sekurang-kurangnya 4 jam.
- Panaskan minyak, goreng ayam sehingga kekuningan. Angkat dan tus minyaknya.
- Untuk membuat air asam, kisar cili merah, cili padi, belacan bersama air asam jawa.
- Tuangkan bahan yang dikisar di dalam mangkuk, masukkan gula merah, kerisik, daun kesum, tomato dan bunga kantan. Gaulkan sebati dan hidangkan bersama ayam berempah yang telah digoreng.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

