Doh yang cukup diuli pasti cantik dan lembut serta gebu roti bila dibakar, Jika doh tidak diuli secara betul, roti akan menjadi liat dan keras.
Doh juga perlu direhatkan, agar ia naik mengembang 2 atau 3 kali ganda dari saiz asal.
Jika doh tidak mengembang, ini bermakna yis yang digunakan sudah masuk angin. Yis hidup akan mengeluarkan karbon dioksida yang akan menyebabkan doh mengembang.
Pengunaan ketuhar atau oven juga memainkan peranan. Tidak semua oven mempunyai tahap kepanasan yang sama. Lazimnya suhu yang sesuai untuk membakar roti antara 180ËšC-200ËšC selama 20 minit hingga 25 minit. Jom kita cuba resipi roti bun sosej ini, buat sendiri lebih sedap dan menjimatkan.

ROTI BUN SOSEJ
BAHAN
500 gm tepung roti
3 sudu besar susu tepung
4 batang sosej
1 sudu besar mentega
100 gm gula
100 gm shortening
2 biji telur
250 gm air sejuk berais
20 gm yis
5 gm garam
Sedikit bijan hitam dan bijan putih
CARA PENYEDIAAN :
- Masukkan tepung roti, gula, susu tepung, garam dan yis di dalam mesin pengadun. Uli sehingga sehingga sebati.
- Masukkan telur, shortening, air sejuk berais dan mentega. Uli lagi sehingga sekata. Tutup adunan doh, biarkan doh kembang.
- Tumbuk doh, buangkan angin dalam doh. Ambil sedikit doh, uli seketika dan letakkan sosej di atasnya.
- Gulung dan potong sedikit bahagian luar doh. Letakkan doh di atas dulang pembakar. Biarkan doh seketika dan pastikan ia sudah kembang.
- Sapukan kuning telur dan taburkan bijan di atasnya. Bakar di dalam ketuhar pada suhu 180ËšC selama 25 minit atau sehingga kekuningan.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

