PKR mempunyai kuasa untuk menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekiranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memilih untuk menyertai parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, PKR boleh berbuat demikian jika mempunyai moral untuk menjaga hati ‘kawan’ apatah lagi semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Mohd Puad berkata, Tengku Zafrul mempunyai hak untuk menentukan parti politik mana yang beliau mahu sertai.
“Ahli UMNO setakat boleh marah tetapi tidak boleh buat apa-apa.
“Kalau betul Tengku Zafrul sertai PKR, yang patut kena marah ialah PKR.
“Parti itu ada kuasa untuk tolak jika ia ada moral untuk jaga hati kawan apa lagi setiakawan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, sudah pasti ada faktor luar biasa mengapa Tengku Zafrul dilihat laku ibarat ‘pisang goreng panas’.
Baca artikel lain: Tengku Zafrul sertai PKR? Belum ada permohonan rasmi, kata Amirudin
“Sekarang parti politik macam syarikat korporat. Ada orang bertaraf CEO yang laku pergi ke mana mana parti politik.
“Tidak mungkin sebab musabab itu ada unsur titah adendum yang PKR tidak boleh ingkari?,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul menegaskan beliau tidak membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada perbincangan awal mengenainya dengan pihak berkaitan.
Dalam masa sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu mengakui beliau sendiri amat terkejut dengan kenyataan kepimpinan partinya mengenai perkara itu.
Untuk rekod, Anwar yang juga Presiden PKR, mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu.
Perdana Menteri menegaskan, beliau dan PKR terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan atau rundingan dengan mana-mana pihak.
Sebelum ini media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mengelak daripada ‘mencuri’ ahli atau pemimpin parti lain dalam gabungan itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan tersebut boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan parti gabungan itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

