SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa persatuan yang mengumumkan kenaikan harga dan menetapkan harga minima perkhidmatan atau barangan termasuk mengenakan syarat perdagangan baru yang didapati memberi kesan negatif secara langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Pengerusi MyCC, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu amat membimbangkan kerana ia melibatkan sektor-sektor penting antaranya pengangkutan, perkhidmatan jagaan, kesihatan dan makanan yang merupakan keperluan asas rakyat.
Idris berkata, MyCC memandang serius akan perilaku persatuan-persatuan yang galak membuat pengumuman kenaikan harga atau harga minima atau syarat perdagangan baru terutamanya melalui media tanpa memikirkan impak yang menambahkan lagi cabaran kelangsungan hidup rakyat.
“Pengumuman sebegini boleh dikategorikan sebagai suatu perjanjian antipersaingan atau kartel kerana ia mencerminkan suatu keputusan ahli jawatankuasa persatuan yang pada masa sama merupakan pesaing-pesaing dalam industri.
“Ia juga boleh dikategorikan sebagai isyarat daripada persatuan kepada ahli-ahlinya dalam menyebar luas keputusan yang telah ditetapkan dengan tujuan untuk memastikan ahli-ahli menjayakan perlakuan kartel secara bersepadu,” jelas Idrus
Mengulas lanjut, Idrus berkata, MyCC mengambil maklum bahawa berlakunya peningkatan kos perniagaan di dalam dan luar Malaysia.
Walau bagaimanapun, jelas Idrus, dalam usaha perusahaan-perusahaan mencari penyelesaian kepada peningkatan kos perniagaan, para peniaga tidak boleh mengambil jalan mudah dengan bersekongkol untuk menaikkan harga atau menetapkan harga minima atau mengenakan syarat perdagangan baru yang akan menaikkan harga.
Tegas Idrus, keputusan sedemikian sepatutnya dilakukan secara bebas dan tanpa arahan atau keputusan persatuan dan mereka tidak boleh berselindung di sebalik jawatan-jawatan persatuan atau keahlian mereka di dalam persatuan.
Menurut Idrus, jawatan atau keahlian itu bukan satu lesen untuk menghalalkan perlakuan kartel masing-masing.
“MyCC ingin memaklumkan bahawa kita sudah membuka beberapa kertas penyiasatan terhadap beberapa persatuan serta ahli jawatankuasa termasuk ahli-ahli persatuan yang disyaki terlibat dalam perlakuan kartel.
“Maklumat di lapangan yang diperolehi daripada saluran media utama dan platform sosial media menunjukkan bahawa ada persatuan, melalui ketua mereka, cuba mengaburi mata rakyat dengan menyatakan pengumuman kenaikan itu hanyalah jangkaan kenaikan untuk masa hadapan atau harga panduan walhal pengumuman itu sebenarnya adalah hasil keputusan persatuan yang berbaur kartel.
“MyCC juga tidak terkejut jika ada persatuan yang membuat keputusan secara rahsia dengan harapan tindakan mereka tidak dapat dikesan kerana mereka sedar perkara tersebut melanggar perundangan persaingan,” katanya.
Idrus menambah, MyCC kekal komited, tanpa gentar atau pilih kasih, untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam pasaran.
Katanya, tindakan MyCC akan ditumpukan kepada mana-mana perusahaan tidak kira besar atau kecil selagi mereka menunjukkan perilaku atau elemen kartel.
Idrus memaklumkan, melalui pindaan Akta Persaingan 2010 yang akan dibentangkan pada awal tahun depan, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan MyCC akan diperkasakan lagi untuk memastikan perilaku sabotaj ekonomi seperti ini ditangani dengan lebih efektif melalui penalti yang lebih berat
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

