Tiada ‘pintu belakang’ kemasukan ke universiti awam, tidak nafi hak B40

Dari Penulis

DAKWAAN bahawa kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) menggunakan ‘pintu belakang’ hingga menafikan hak anak daripada keluarga kurang berkemampuan adalah tidak benar sama sekali, menurut Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor UA (JKNCR UA).

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman menegaskan pengambilan pelajar ke universiti awam dibuat secara telus melalui sistem tapisan dan saringan ketat serta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

“Justeru, pihak JKNCR UA ingin menegaskan bahawa kaedah ‘pintu belakang’ sama sekali tidak pernah wujud dalam proses kemasukan pelajar ke mana-mana universiti awam di Malaysia,” katanya pada sidang media, hari ini yang turut dihadiri naib canselor daripada beberapa UA Malaysia.

Sidang media itu diadakan bagi menjawab kenyataan Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Kedah yang mendakwa kemasukan pelajar ke universiti melalui ‘saluran terbuka’ telah menafikan hak anak-anak golongan miskin.

Menjelas lanjut, Mohd Ekhwan yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata pengambilan pelajar melalui saluran perdana yang melibatkan subsidi kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada pelajar B40.

Baca artikel lain: Anwar hasrat wajibkan menteri alumni UM sumbang RM10,000 pembangunan universiti

Beliau berkata, rayuan bagi saluran terbuka yang tidak melibatkan subsidi kerajaan untuk pelajar T20 dan antarabangsa pula hanya dibuka selepas kuota saluran perdana telah dipenuhi.

“Jumlah kemasukan pelajar ke universiti awam melalui saluran arus perdana juga tidak pernah dikurangkan, justeru, tidak ada isu pengambilan kuota pelajar miskin untuk tujuan penjanaan pendapatan (UA),” katanya sambil menambah kedua-dua saluran itu telah wujud semasa Haim memegang jawatan Naib Canselor UUM.

Mohd Ekhwan berkata, pengambilan pelajar melalui saluran terbuka hanya kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan pelajar UA pada setiap sesi kemasukan dan lazimnya tidak melibatkan kursus kritikal seperti perubatan.

“Saluran terbuka ini kalau kita buka pun hanya kepada calon yang mungkin layak dan masih lagi ada kekosongan (tempat) dan amat jarang bagi UA buka untuk bidang kritikal kerana bidang ini memang permintaannya sangat tinggi dan telah pun dipenuhi oleh ramai calon berkelayakan yang masuk melalui saluran perdana,” katanya.

Beliau berkata pelajar antarabangsa juga tidak pernah mengambil kuota pelajar tempatan di UA walaupun kerajaan menetapkan sasaran Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau ini.

“Hingga 2025 sebagai sebuah hab pendidikan tinggi, kita sasar sekitar 250,000 pelajar antarabangsa di semua UA dan institusi pendidikan tinggi swasta. Kalau saya tidak silap sekarang ini jumlah pelajar antarabangsa seramai hampir 160,000 orang,” katanya.

Mohd Ekhwan berkata JKNCR UA turut menyokong tindakan UUM membuat laporan polis berhubung kenyataan Haim dan pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi untuk mengambil tindakan selanjutnya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Landskap politik berubah jika Onn Hafiz bawa BN menang PRN Johor – Hassan Karim

LANDSKAP politik negara disifatkan bakal berubah sekiranya Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membawa Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya...

More Articles Like This