UMAT Islam wajib membela serta mempertahankan Palestin dan rakyatnya daripada segala bentuk kezaliman, pencerobohan dan penjajahan rejim Zionis Israel.
Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang bagi membincangkan mengenai kewajipan membela dan mempertahankan Palestin dan rakyatnya daripada pencerobohan Israel pada 24 hingga 26 September lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr Nooh Gadot dalam kenyataan hari ini berkata, umat Islam juga perlu menyokong pengiktirafan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak asasi manusia.
Beliau berkata, umat Islam juga hendaklah bersatu dalam mempertahankan dan membebaskan Masjid al-Aqsa.
“Boikot adalah disyariatkan dalam Islam terutama untuk mempertahankan dan memelihara maqasid syariah. Perbuatan boikot selari dengan tuntutan jihad terutama dari segi harta,” katanya.
Baca artikel lain: Malaysia kekal teguh bersama Palestin – Ahmad Zahid
Nooh berkata tindakan memboikot syarikat atau entiti perniagaan yang mempunyai kepentingan dan terlibat dengan rejim Zionis hendaklah berpandukan beberapa parameter yang digariskan.
Antaranya, katanya matlamat boikot untuk menekan syarikat menukar polisi, visi, misi dan strategi mereka berkenaan Palestin dan menghentikan kezaliman Israel.
Selain itu, tindakan boikot hendaklah dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria antaranya syarikat terlibat dalam aktiviti penjajahan dan membantu rejim Zionis seperti membekalkan perkakas komputer, membekalkan jentera atau peralatan bagi memusnahkan harta benda dan nyawa rakyat Palestin serta memberi pembiayaan kewangan.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai badan penyelaras telah menyembah maklum pandangan hukum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 pada 23 dan 24 Oktober.
“Dalam hal ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa agama negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya.
–BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

