MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan beliau akan menyertai Himpunan Solidariti Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya, esok.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan Perikatan Nasional (PN) berkata, kehadirannya ke perhimpunan terbabit nanti bertujuan untuk mengetahui sendiri sama ada Titah Adendum berkait bekas Perdana Menteri itu yang diperkatakan selama ini, wujud atau sebaliknya.
“Siapa hendak pergi, silakan… tidak mahu pergi, sudah. Saya akan hadir, nak tengok Titah Adendum itu ada atau tidak. Ada orang kata ada, ada orang kata tidak ada, selepas itu kata ada. Kita tengok ada atau tidak ada… sebab itu saya hendak pergi mahkamah (di Putrajaya), esok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Kempen PKNK Cashless, di Alor Setar, hari ini, memetik laporan BH Online.
Kelmarin, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan, esok.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kemudian menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dipetik berkata ia demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam
Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan, malam kelmarin, berkata parti berkenaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Asyraf Wajdi dipetik berkata, UMNO akur kepada segala saranan titah Seri Paduka agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berpandangan Yang di-Pertuan Agong tiada bertitah melarang perhimpunan berkenaan diadakan, justeru mempersoalkan tujuan segelintir pihak ‘pusing’ ke aspek itu.
“Semua ini akan menjadi persoalan yang berlarutan. Sepatutnya telus saja, senang semua orang tahu kerana tiada apa yang perlu ditakutkan atau disembunyikan selagi kita benar,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menafikan PAS mengambil kesempatan atas isu berkenaan, sebaliknya mengibaratkan ia umpama menangkap ikan di depan mata.
“Kalau ikan lalu kita tak sauk, rugilah. Cuma nak sauk itu ada alat atau tiada. Jangan sampai kita bom ikan itu… sauk elok-elok.
“Saya rasa dalam dunia terbuka ini, tiada apa yang boleh disembunyikan… proses itu berlaku secara betul atau tidak betul. Sekarang, orang nak tengok proses itulah, nak berselindung atau tidak berselindung.
“Jadi yang dibawa ke mahkamah, esok, orang nak tengok perkara itu… siapa yang berkata benar, siapa yang tidak bercakap benar,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata parti itu tetap meneruskan penyertaannya dalam himpunan solidariti itu, esok.
Takiyuddin dipetik mendakwa bahawa kehadiran ke perhimpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong, selain tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta perjalanan Lembaga Pengampunan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

