SEPUCUK surat daripada Majlis Kesultanan Pahang mengesahkan bahawa Titah Adendum supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi tahanan dalam rumah adalah wujud dan sahih.
Perkara itu disahkan Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dalam surat yang dihantar kepada anak Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar Najib.
Dalam surat bertarikh 4 Januari 2025 yang turut tular itu, Ahmad Khirrizal memaklumkan bahawa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan di bawah tahanan dalam rumah melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
“Sehubungan dengan itu, melalui surat ini, saya bagi pihak Al-Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah dengan ini memperakukan bahawa Titah Adendum Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku termaksud adalah wujud dan sahih,” katanya menerusi surat tersebut.
Difahamkan, surat itu turut didedahkan dan dibacakan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Rayuan pagi ini dalam prosiding semakan kehakiman melibatkan Najib.

Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum untuk beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Titah Adendum itu didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari, tahun lalu.
Pendengaran yang pada asalnya dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu akan dimulakan pada pukul 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Mahkamah juga akan mendengar permohonan bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.
Baca artikel lain: Najib tiba di Istana Kehakiman disambut laungan ‘Hidup Bossku’
Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.
Najib, 71, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib memohon perintah mandamus untuk memaksa responden menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Jan tahun lepas.
Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah, jika titah itu wujud, maka semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

