Bahasa Inggeris di mana-mana dalam negaraku – Oh nasib bahasaku

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

MINGGU lalu saya dan teman sebilik pulang ke Pulau Pinang dan Kedah dengan semua jenis kenderaan yang ada: darat, laut dan udara.

Segalanya bermula dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTKL). Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, kami ‘pekena’ dulu nasi kandar Melayu gulai ikan jenahak dan bendi.

Di seberang terminal sahaja. Kos cuma RM11.00 dengan minuman. Kemudiannya dengan bas Rapid kami ke jeti di Pangkalan Raja Tun Uda, di Tanjung untuk mengambil feri ke jeti Sultan Abdul Halim di Bagan.

Sepasang pelancong dari Ukraine kami bantu untuk tambang bas ke jeti kerana kad banknya tak dapat digunakan.

Rasa terhutang budi walaupun mungkin sekadar empat lima ringgit saja, segera kami diberi coklat yang dibawa dari Ukraine. Terima kasih.

Di jeti kami bergegas mengambil feri ‘Pulau Kampi’ untuk ke seberang. Dua puluh minit kami tiba di Bagan. Sekali lagi kami ambil bas Rapid ke Permatang Bendahari.

Singgah lagi di sebelah warung ‘Sadig Sigaraga’. Pekena lagi laksa, mi rebus dan nasi daging. Tunggu ‘grab’ tak kunjung tiba saya telefon sahabat sekampung di Sungai Emas. Dia ada di tempat lain rupanya dan minta menantunya tolong hantarkan kami ke Pantai Merdeka Resort. (Mengapa tidak Inapan Pantai Merdeka?). Terima kasih Roni sahabatku.

Saya diundang untuk Majlis Perjumpaan Semula Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani atau Majlis Pertemuan Kembali yang telah diubah nama atas permintaan saya daripada asalnya “reunion“.

Syabas, semua rakan juga cinta bahasa negara ini dan layaklah untuk tinggal di sini. Yang tak suka bahasa negara ini eloklah bawa kain baju pindah ke negara lain yang bahasanya anda suka. Pesanan ini sebenarnya untuk semua yang mendiami bumi Tanah Melayu ini.

Banyak berjalan luas pandangan, banyak pengalaman. Sebenarnya bukan itu yang hendak saya kisahkan walaupun pastinya peristiwa majlis tersebut pastinya indah dan menarik. Tahniah Datuk Che Pee, Pak Chaq, Azmi dan lain-lain. Lebih 20-40 tahun tak bertemu muka.

Tetapi yang ingin dikisahkan inilah ceritanya. Sejak di LTKL lagi sudah ada peristiwa yang mengguris hati sebagai warganegara ini.

Penjajah tidak lagi dengan strategi imperialis tapi senyum yang menghiris jantung, hati dan minda. Betul sangatlah seperti cuitan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari baru-baru ini.

Malaysia negara paling aneh di dunia! Rakyatnya tidak suka (benci?) bahasa negara sendiri. Itupun kalau dia mengaku ini negaranya yang tercinta. Hasil mahsul negara dipunggah setiap hari tapi bahasanya dibenci. Kacang yang lupa akan kulitnya.

Pemimpin pun hampir tiada lagi yang menjadi suri teladan yang megahkan bahasa Melayu. Kalau ada pun cuma seorang dua dan bermusim kerna mungkin lebih sibuk memikirkan tentang ekonomi, perdagangan di samping nasib politik sendiri. Agaknya itu lebih penting daripada soal basa basi.

Jika pemimpin dahulu berbuat kesilapan, pemimpin terbaru biarkan saja. Mungkin bukan aku yang silap katanya dan seterusnya tak berani betulkan? Biarlah apa pun terjadi atau musibah terus menimpa? Misalnya program dwibahasa atau DLP, PPSMI versi 2.0 yang sehingga kini masih belum dimansuhkan walaupun jelas bahasa Melayu semakin hancur dalam bidang sains dan teknologi.

Moga Perdana Menteri, bekas pejuang bahasa 70-an masih berani seperti dahulu dan akan memansuhkan sesuatu yang sedang memudaratkan bahasa Melayu.

Baca artikel lain: Titah Sultan Pahang wajib disambut baik di seluruh negeri

Di sekitar lapangan terbang masih banyak iklan yang tidak menonjolkan bahasa Melayu selayaknya terutama di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Hanya bahasa Inggeris sahaja. Lebih malang hanya dwibahasa, Inggeris dan Mandarin atau Inggeris sahaja atau Mandarin sahaja.

Masih adakah lagi pemimpin negeri di Pulau Pinang ini yang benar-benar berjiwa Malaysia, menjiwai sehingga di luar kotak lagu Bahasa Jiwa Bangsa atau mereka sudah beralih kiblat? Layaknya macam berada di lapangan terbang Chiang Kai Shek di Taiwan saja.

Cuma sekalung tahniah kepada pesawat Malaysia Airlines yang masih kekal mendahulukan
penyataan, arahan dan pengumuman dalam bahasa Melayu.

Kemudiannya baharulah bahasa Inggeris semasa dalam penerbangan. AirAsia dan lain-lain bagaimana pula? Pengalaman saya biasanya lebih teruk. Pegawai DBP mungkin boleh cuba menerjah ke dalam pesawatnya.

Syabas kepada MAS yang sambil menjual perkhidmatan, turut ‘menjual’ bahasa Melayu ke serata dunia. Cuma mungkin ada beberapa hal yang boleh diperbaiki lagi, misalnya mewujudkan kembali esei berbahasa Melayu dalam majalahnya ‘Going Places’ seperti dahulu, sebelum era COVID-19.

Pengumuman bagi penerbangan bersama dengan syarikat lain yang bermula di Malaysia eloklah dikekalkan dengan bahasa Melayu dahulu sebelum bahasa Inggeris dan lain-lain. Dengan demonstrasi dan gambar, langkah keselamatan penerbangan tetap difahami walaupun bahasa Melayu yang digunakan. Misalnya Japan Airlines tetap berbahasa Nippon dahulu sebelum English jika bermula di Tokyo, Osaka dan lain-lain.

Sepanjang perjalanan dari Bayan Lepas ke jeti di Tanjung, pelbagai iklan yang membawa saya melawat Taiwan rasanya. Jika ada pertandingan negeri dan bandar berwajah asing di Malaysia, rasanya negeri inilah yang menjadi calon johannya.

Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh anjurkan. Di sekitar Kompleks Penang Sentral (bukan Pulau Pinang Sentral atau Bagan Sentral) juga iklan berbau keju kelihatan berkeliaran di sekeliling kami. Hanya pabila tiba di inap desa kami di Teluk Nipah, Kota Kuala Muda, bertemulah dengan Flora Homestay (?) dan bilik Seroja, Mawar.

Bahasa Melayu juga komoditi penting yang boleh dijual ke seluruh dunia. Ini tugas utama Menteri Pelancongan Malaysia yang wajib dilaksanakan bagi sektor pelancongan.

Anda bukan menteri khas mana-mana kaum minoriti sehingga yang majoriti dikesampingkan. Jangan ingat komoditi itu cuma produk industri di kilang sahaja.

Janganlah sibuk bak kut teh yang dimakan cuma oleh berapa kerat saja keturunan tertentu kerana umumnya makanan ini sering dikaitkan dengan daging khinzir.

Banyak lagi menu pujaan ramai seperti nasi lemak, sate, pulut udang, cucur badak, tepung gomak, apam, laksa, laksam dan lain-lain.

Malah kuih bakul lebih baik daripada mengiklan bak kut teh. Luaskan mindamu wahai menteri atau letak jawatan saja kerana kerap menimbulkan kontroversi termasuk isu iklan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akhirnya terpaksa dibuat semula kerana unsur ‘memorisid’.

Moga menteri ini diberi amaran terakhir atau dipecat saja walaupun mungkin dia berasa besar di wilayahnya. Berilah jawatannya kepada mereka yang lebih berjati diri negara ini. Pelancongan membawa citra dan imej utama negara.

Mengapa unsur perlambangan agama Persekutuan yang amat penting terlihat kehilangan? Pastinya hal ini berupaya menimbulkan kecurigaan sama ada alpa atau kesengajaan? Ini negara yang banyak warisan budaya Melayu: makanan tadisi, kuih-muih, pelbagai seni dan kraf tangan, anyaman, batik, silat, muzik, tari asli yang dipusakai turun temurun untuk diperaga dan sebagainya. Wajib dipamer.

Sebut soal aneh, memang banyak yang aneh di sana sini di negara ini, dulu hingga kini. Moga tidak selamanya. Jika menterinya bersin keju maka segala ketua jabatan yang ada pun terus muntahkan keju juga. Malu nak muntahkan belacan dan budu. Malu dan takut untuk pertahankan sekalipun telah tersurat, tersirat dan terkait dengan Perkara 152 dan 153 yang memangnya ada dalam Perlembagaan.

Sanggup akur walaupun bercanggah dengan kebenaran di sisi undang-undang dan sekalipun kebenarannya diyakini di dalam hati. Petaka apakah ini? Adakah ini petanda muflis jati diri dan muflis rasa megah bahasa yang bersarang sekian lama sekalipun negara merdeka hampir 70 tahun?

Walaupun banyak bidang kuasa tentang bahasa Melayu terkait dengan pihak berkuasa tempatan tetapi DBP wajib mengingatkan juga pendaftar syarikat untuk berperanan sebaiknya sebagai penjaga dan penguasa bahasa di negara ini.

Pastikan tiada nama tanpa jati diri negara ini diluluskan sewenangnya dan segala lompang yang ada diteliti dan ditutup segera dengan kuasa dan akta dan pindaan jika perlu.

Jika tidak, jangan hairan jika nanti semua desa dan kampung juga akan seperti kota, bandar raya, berwajah England dan Taiwan dan rakyat Malaysia serta pemimpinnya terus menjadi orang aneh atau ‘UFO’ di negara sendiri.

Seingat saya, Perdana Menteri juga ada mengingatkan tentang martabat bahasa Melayu yang wajib dihormati dalam amalan. Malangnya masih ada menteri yang degil atau pekak badak? Pecat saja mereka itu Datuk Seri!

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Puad dakwa UMNO amal budaya kronisme dalam memilih calon

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa amalan memilih calon berdasarkan kelompok, kroni...

More Articles Like This