Hentikan polemik Titah Adendum…tunggu saja keputusan mahkamah

Dari Penulis

AKHIRNYA segala teka-teki mengenai kewujudan Titah Adendum untuk membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah terjawab.

 Ia berikutan penjelasan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Titah Adendum itu telah diserahkan oleh Peguam Negara kepada Istana Negara bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong  Sultan Ibrahim membuat keputusan.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenankan oleh Al-Sultan Abdullah Ketika beliau menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Isu Titah Adendum tersebut ‘panas’ sejak 6 Januari lalu apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Apapun oleh kerana Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan mengembalikan kepada Mahkamah Tinggi dan Anwar pun  telah menjelaskan ‘pengembaraan’ Titah Adendum maka adalah wajar jika semua pihak menanti sahaja apa pula keputusan Mahkamah Tinggi.

 Ia kerana sama ada kita sedar atau tidak, issu mengenai Titah Adendum ini telah sampai ke tahap menyeret semua institusi termasuk istana ke dalam polemik yang tidak sewajarnya. Keadaan itu jika berterusan ia amat tidak baik untuk negara.

Ini memandangkan pertikaian Titah Adendum itu menyebabkan ahli Parlimen berbalah di Dewan Rakyat, parti-parti polik serang menyerang antara sama lain, Jabatan Peguam Negara dipertikaikan dan paling tidak elok apabila institusi beraja pun dilihat bagaikan berbalas-balas kenyataan.

Semua ini tidak menguntungkan rakyat dan negara sebaliknya hanya mencampakkan semua institusi yang diseret dalam polemik itu dipandang buruk. Perlu diakui sejak awal lagi isu ini tidak diuruskan dengan baik.

Ada yang kata wujud, ada yang kata tidak wujud, ada yang kata khabar angin, ada yang kata tak sorok, ada yang kata disorok dan paling memualkan ada ‘tukang cucuk’ pro kerajaan menuduh isu ini akan dijadikan senjata untuk menjatuhkan kerajaan.

 Malang sekali semua adegan ini sedang disaksikan oleh rakyat sehingga akan menyebakan wujud persepsi tidak baik kepada mereka yang terlibat termasuklah terhadap pihak istana. 

Oleh itu cukup-cukuplah berbalah dan mencetuskan polemik dalam isu adendum ini. Perdana Menteri sudah bersuara dan Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan, sama-sama kita tunggu apa keputusan Mahkamah Tinggi.

Sementara kita mengakui bahawa Najib harus diberikan keadilan dalam soal adendum itu namun pada masa sama janganlah sampai isu tersebut menggugat kestabilan politik dan keselamatan.

Hentikan tuduh menuduh, salah menyalah, tuding menuding kerana perbuatan seumpama itu dijangka diteruskan hanya akan menyeret negara kita ke arah ketidakstabilan politik, selain menimbulkan perasaan muak kepada rakyat yang sedang bergelut meneruskan kehidupan.

Pada masa sama jangan ada ahli politik yang cuba menjadi ‘batu api’ tidak kira sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Biarpun pihak berhak menyatakan pendirian mereka dalam isu ini tetapi biarlah secara berhemah.

Pihak kerajaan boleh memberi penjelasan manakala pihak pembangkang boleh mempersoalkan…tiada masalah kerana itulah demokrasi. Tetapi janganlah membangkitkan perbalahan yang akan merugikan negara.

Paling penting janganlah sampai hanya kerana isu Titah Adendum, semua institusi terlibat termasuklah istana akan dipandang serong oleh rakyat akibat  tindakan masing-masing mahu mempertahankan diri.

 Kesimpulannya, hentikan polemik Titah Adendum tersebut, banyak lagi isu lain yang lebih penting demi kesejahteraan rakyat perlu diuruskan, cumanya jadikanlah apa yang berlaku sebagai pengajaran untuk lebih bijak menangani sesuatu isu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Polis sahkan Haim Hilman digari, tegaskan ikut prosedur

POLIS mengesahkan Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berada dalam...

More Articles Like This