PENGGUNAAN sijil halal untuk pembekal tidak melayakkan sesuatu produk itu diperakui halal, tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ia susulan kenyataan pembekal sandwic ‘ham and cheese’ yang tular baru-baru ini mengemukakan bukti bahawa bahan yang digunakan dalam produk tersebut diperakui halal oleh Jakim.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan memaklumkan, dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal.
Beliau berkata, produk tersebut tidak boleh dikatakan halal selagi mana tiada pengesahan mahu pun perakuan daripada pihak berautoriti pensijilan halal Malaysia.
“Penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan dan pemprosesan secara keseluruhan.
Baca artikel lain: Isu sandwic ‘ham and cheese’: MCA jangan melampaui batas
“Oleh itu, Jakim menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam masa sama, Sirajuddin menegaskan sekali lagi bahawa pemeriksaan yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati bahawa produk sandwic ‘ham and cheese’ itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Katanya, syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Semalam, syarikat pembekal kepada KK Mart, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd tampil mengemukakan bukti bahawa bahan yang digunakan dalam produk sandwich ‘ham & cheese’ diperakui halal oleh Jakim.
Menurut kenyataan syarikat itu, bahan yang digunakan dalam sandwich itu adalah roti, keju dan kepingan daging ayam atau ham ayam.
Syarikat berkenaan turut melampirkan sijil perakuan halal oleh Jakim yang dikeluarkan pada 16 April 2023.
Ia bertentangan dengan kenyataan Jakim pada Isnin yang memberitahu bahawa produk sandwic ‘ham and cheese’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

