TIKTOK pada lewat malam Sabtu mengumumkan bahawa perkhidmatannya di Amerika Syarikat (AS) “tidak tersedia buat sementara waktu”, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Kami kesal bahawa undang-undang di AS yang melarang TikTok akan berkuat kuasa pada 19 Januari, seterusnya memaksa kami untuk menghentikan perkhidmatan buat sementara waktu.
“Kami sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan kami di AS secepat mungkin dan kami menghargai sokongan anda. Nantikan maklumat lanjut,” menurut aplikasi perkongsian video popular itu dalam mesej kepada semua pengguna.
Mahkamah Agung AS pada Jumaat mengesahkan undang-undang untuk melarang TikTok kecuali jika syarikat induk yang berpangkalan di China, ByteDance melepaskan pemilikan aplikasi itu.
Baca artikel lain: Hina Speaker melalui TikTok: Ahli Parlimen Pendang digantung Dewan Rakyat 10 hari
Mahkamah memutuskan bahawa ultimatum sama ada pelepasan aset atau menghadapi larangan itu tidak melanggar hak Pindaan Pertama syarikat di bawah Perlembagaan AS.
Rumah Putih menyatakan bahawa aplikasi media sosial China itu boleh terus tersedia di AS, tetapi di bawah pemilikan Amerika bagi menangani kebimbangan keselamatan negara.
Presiden terpilih Donald Trump menunjukkan simpati terhadap TikTok, akan kembali ke Rumah Putih pada Isnin untuk memulakan penggal kedua pentadbirannya, sehari selepas tarikh akhir ByteDance untuk melupuskan pemilikan.
Trump menggesa Mahkamah Agung untuk menangguhkan keputusan itu bagi memberi ruang untuk rundingan.
Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew dijangka menghadiri majlis pelantikan Trump.
-BERNAMA-AA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

