JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah tetapi ia tidak bersifat dasar.
Keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri yang membincangkan garis panduan bagi majlis melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan bersama memaklumkan, keputusan tersebut mengambil kira bahawa perkara itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.
Menurut kedua-dua menteri itu, perkara tersebut berbangkit susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.
Justeru, Aaron dan Mohd Na’im memberitahu, Jakim telah mengambil inisiatif membangunkan garis panduan tersebut bagi memberi panduan kepada umat Islam.
“Jemaah Menteri juga mengingatkan setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan bersama itu hari ini.
Baca artikel lain: Garis panduan umat Islam hadir rumah ibadat bukan Islam dibincang Kabinet esok
Mengulas lanjut, Aaron dan Mohd Na’im berkata, perbincangan yang inklusif dengan mengambil kira sensitiviti semua pihak adalah penting dalam membina kesepaduan nasional.
Sehubungan itu, kata mereka, segala perkara berkait rapat dengan keharmonian antara penganut agama akan dibincangkan secara lanjut dalam mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang dipengerusikan bersama.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.
“Kerajaan MADANI menyedari bahawa kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana yang aman dan harmoni,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan sedang mengkaji satu garis panduan baharu yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Garis panduan itu adalah sebagai panduan buat orang Islam untuk menghadiri majlis perayaan atau upacara penganut agama lain dalam keadaan tertib, mematuhi adab serta memelihara pegangan akidah Islam.
Namun, media melaporkan beberapa pihak mengkritik cadangan itu antaranya berhubung keperluan mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa agama jika acara itu melibatkan umat Islam, serta memastikan acara terbabit tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

