DATUK Mohd Joehari Mohd Ayub diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu bagi penggal 2025-2029, hari ini.
Pelantikan Mohd Joehari itu selepas beliau menang tanpa bertanding apabila menjadi calon tunggal untuk jawatan tersebut pada Kongres Pemilihan FAM hari ini.
Mohd Joehari yang sebelum ini merupakan Naib Presiden menjadi individu pertama dari Sabah memikul tanggungjawab tersebut.
Beliau menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak tahun 2018.
Disember tahun lalu, Hamidin mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam kongres badan induk itu.
Menurut Hamidin, keputusan itu diambil bagi memberi ruang kepada ahli gabungan FAM untuk memilih presiden yang baharu.
Hamidin memberitahu, beliau telah lama membuat keputusan itu setelah mengadakan perbincangan dengan keluarga.
Kata beliau, keputusan yang diambil itu bukan disebabkan desakan pihak lain termasuk penyokong.
Baca artikel lain: Peneraju baharu FAM mampu bawa Harimau Malaya ke peringkat lebih tinggi
Sebagai rekod, Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM ketujuh bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Mahkota Ismail sebelum beliau menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan bagi penggal 2021-2025.
Sementara itu, dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram mempertahankan jawatan masing-masing setelah turut menang tanpa bertanding.
Jawatan Naib Presiden pula menyaksikan legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh berjaya mengisi salah satu daripada empat jawatan berkenaan.
Dollah memperoleh 16 undian dalam persaingan lima penjuru itu.
Tiga lagi kerusi naib presiden diisi Datuk Seri Rosmadi Ismail yang mendapat 17 undi, N Saaran (13 undi) dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi).
Seorang lagi calon iaitu Syed Yazid Syed Omar pula hanya memperoleh sembilan undi.
Dalam pada itu, seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan turut terpilih mengisi barisan kepemimpinan baharu FAM.
Bekas pemain Selangor itu memperoleh 18 undi sekali gus jumlah undian tertinggi dalam kalangan 14 calon untuk mengisi salah satu daripada lapan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif (EXCO) FAM.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

