Usaha KPM pertingkat penguasaan bahasa Inggeris disokong 100% kecuali program DLP

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

MENURUT Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempertimbang beberapa “kaizen” atau penambahbaikan segera untuk memastikan keberkesanan penguasaan bahasa Inggeris.

Ini berikutan gesaan Perdana Menteri agar usaha tersebut segera dilaksana oleh KPM setelah dilihat tertangguh agak lama.

Nampaknya Perdana Menteri begitu prihatin akan hal tersebut walaupun beliau amat sibuk dengan hal-hal lain termasuk memerangi rasuah, menangani masalah keterjaminan makanan, beras dan lain-lain.

Hampir semua menteri telah ditegur demi kesegeraan tugas dan kesejahteraan rakyat.

Tidak cukup dengan itu ditambah dengan ‘kerenah’ sahabat gabungan, DAP, yang terlihat tidak henti-henti menguji suhu negara dengan pelbagai isu, jualan arak di kawasan majoriti Melayu dan panduan penganut Islam berkaitan perayaan agama lain.

Walaupun telah jelas dalam peraturan, undang-undang dan Perlembagaan urusan agama Islam adalah tanggungjawab Raja-Raja Melayu dan majlis agama Islam.

Tidak mungkin ahli Parlimen dan menteri yang biasanya bijak pandai tidak arif tentang perkara yang cuba dicuit. Alhamdulillah, Kabinet telah membuat keputusan yang tepat tentang isu tidak perlunya seorang lagi menteri untuk menjaga hal agama bukan Islam.

Nasihat kami, janganlah dikejut harimau yang nampaknya macam tidur.

Tahap toleransi penduduk asal dan peribumi di sini sangat tinggi. Jika tidak, tiadalah semua tuan hamba di bumi ini sekarang. Insaflah dan sedarlah di mana langit yang tuan hamba junjung sekarang.

Satu nikmat yang tiada di mana-mana ceruk di dunia ini. Carilah jika ada. Jika tidak cukup lagi menghadam fasal-fasal khasnya berkaitan agama Islam, Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, kedudukan istimewa bangsa Melayu, silalah tidur berbantalkan Perlembagaan Persekutuan agar tuan-tuan semua tidak tersasar dan menimbulkan masalah kepada negara ini dan Perdana Menterinya.

Kepada Perdana Menteri, syabas kerana kelihatan masih terbuka walaupun ada riak-riak pihak tertentu yang agak tertutup. Moga Perdana Menteri terus menegur apa sahaja yang lambat atau tidak betul termasuk yang dinyatakan secara jujur oleh penulis dalam tulisan ini.

Baca artikel lain: Perlukah garis panduan umat Islam di Malaysia hadiri upacara agama lain?

Berbalik isu pendidikan, menurut Menteri, KPM akan fokus usaha memperkasa bahasa Inggeris yang bertumpu kepada empat inisiatif utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2025.

Antaranya merangkumi aspek “Highly Immersive Programme (HIP), Program Peningkatan Kemahiran Bahasa Inggeris Dalam Talian dan “Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT) dan juga “Dual Language Programme (DLP).

Semua inisiatif tersebut bertujuan mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan guru. Tiga daripada usaha tersebut tiada masalah besar dan sewajarnya disokong.

Tetapi tidak halnya dengan “program” DLP. Seperti sudah lama termaklum, DLP (2016) adalah jelmaan semula PPSMI (2003-2009) yang telah ditentang hebat dengan pelbagai seminar, konvensyen, kajian beberapa pihak termasuk DBP dan universiti tempatan di samping akhirnya di Meja Bulat KPM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PKAP).

Kemuncaknya juga dengan demonstrasi perarakan 100,000 rakyat pimpinan Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), membawa memorandum ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 walaupun sambutannya bukanlah dengan bunga manggar dan siraman air mawar tetapi dengan semburan gas pemedih mata.

Dikepalai oleh almarhum bekas Ketua Pengarah DBP sendiri, Datuk Dr Hassan Ahmad, Sasterawan Negara dan rakyat, Datuk A.Samad Said dan lain-lain dengan membawa memorandum untuk dipersembah kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya dengan iltizam dan keberanian Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan ketika itu, PPSMI dimansuhkan, sebelum DLP (PPSMI versi 2.0) dibawa semula masuk secara “curi-curi” ke dalam KPM pada tahun 2016.

Seawal itu lagi sudah jelas niatnya yang tidak suci. Sebenarnya pihak Badan Bukan Kerajaan (BBK) telah pun menyampaikan pelbagai saran, tulisan, buku dan memo sejak tahun 2016 lagi kepada KPM dan Perdana Menteri semasa itu dan juga semasa pertemuan wakil BBK dengan Menteri Pendidikan di Putrajaya dua tahun lalu berserta cadangan.

Malangnya walaupun pelbagai hujah yang jelas tentang keburukan PPSMI dan DLP tetapi nampaknya tiada sehabuk usaha langsung untuk memansuhkan DLP.

Semoga Perdana Menteri, sebagai bekas pejuang bahasa Melayu 1970-an masih berani mengambil tindakan tegas untuk memansuhkan DLP.

Hampir mustahil ada Perdana Menteri atau Menteri Pendidikan yang lebih berani selepas ini. Meminjam kata jiran saya di Sheffield dulu, “it’s now or never”.

Jika tindakan memansuhkan diambil, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus dikenang sebagai “Panglima Bahasa” yang mengambil tindakan paling berani menyelamatkan bahasa Melayu daripada terkubur sebagai bahasa sains dan teknologi di negara ini tanpa menunggu demonstrasi ratusan ribu rakyat membawa memorandum bantahan ke Istana Negara dan Seri Perdana di Putrajaya.

Tetapi percayalah, tanpa tindakan ini, penulis yakin bahasa Melayu akan terus digerhanakan di bumi ini dan bacaan talkin akan terus bergema sayu selama-lamanya di pusara tanpa nisan.

Maka melompat rianglah para anglophile di seluruh pelosok negara. Mereka girang kerana hasrat menguburkan jasadnya tercapai. Justeru peruntukan beratus juta kepada DBP tidak memberi apa-apa makna lagi.

Maka puisi “Keranda Bahasa 152, dan kata-kata dalam karya Sasterawan Negara, Datuk (Dr) Usman Awang menjadi saksinya. “Terpenggallah leher bahasa di Parlimen bumi ini”?.

Golongan anglophile yang “mengkhianati” bahasa Melayu akhirnya terlihat memenangi perlawanan “zero-sum game” ini pada masa itu? BBK yang telah puas berhujah secara ilmiah dan akademik tanpa emosi sejak “memerangi” PPSMI dahulu jelas umpama berbicara dengan seorang yang tunarungu.

Sebenarnya tiada apa yang perlu dibimbangi oleh KPM dan kerajaan kerana pihak yang bermain silap mata memperkenal DLP secara curi-curi adalah KPM dan kerajaan dahulu.

Justeru tidak wajar pihak KPM dan pemerintah sekarang terus mewarisi kesilapan tersebut. Kepada pakar dan karyawan di KPM ingatlah bahawa tanggungjawab terbesar anda kepada Yang Maha Esa, bahasa, rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Hadis Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa sebaik-baik jihad adalah berkata yang benar di depan pemerintah yang zalim dan seorang pemimpin akan menempah kejahatan sekiranya didampingi oleh pembohong yang mengampu, tidak ikhlas dan tidak takut kepada Allah.

Pemimpin dihormati kerana takut kepada manusia, bukan kepada tuhan.

Masakan pula dengan pemerintah madani yang dikatakan berhikmah dan penuh dengan keterbukaan minda dan pandangan anda tetap bimbang? Sungguh malang jika masih ada wira yang terlihat lari dari medan perang atau berundur sebelum berjuang.

Anda akan menjawab di hadapan tuhan nanti apakah yang anda lakukan untuk menegur kesilapan pemimpin.

Sahabat budiman penulis pun masih banyak di Putrajaya dan seluruh negara. Cukupkah sekadar berjuang di dalam hati sahaja, sedangkan anda tidak perlu menumpahkan walau setitis darah? Suarakanlah minda intelektual anda demi bahasa tercinta.

Menjadi tugas yang mulia untuk KPM kini memperbetul kesilapan kerajaan lalu dan yang diperlukan hanya secebis keberanian untuk memansuhkannya ketimbang terus mewarisi kesilapan lalu yang pasti menghancurkan upaya bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi.

Malah sebagai bekas pejuang bahasa Melayu, Anwar dipercayai tidak akan ragu-ragu untuk mengarahkan agar DLP yang jelas bertentangan dengan usaha memartabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di Malaysia dimansuhkan segera oleh KPM.

Apa tidaknya? Semasa Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970-2003) beribu mata pelajaran sains dan teknologi di lebih 10,000 buah sekolah, kolej dan beribu fakulti di universiti awam khasnya telah diajar dalam bahasa Melayu tetapi semasa PPSMI dan kini DLP (PPSMI versi 2.0) beribu-ribu mata pelajaran yang sama tersebut kembali diajar dalam bahasa Inggeris seperti sebelum tahun 1970-an.

Kembali ke zaman penjajah sedangkan amat jelas semua negara maju dengan bahasa sendiri, China, Rusia, Jerman, Jepun, Korea, Turkiye, Perancis, Sepanyol, Sweden, Amerika dan Britain.

Mungkin kenyataan ini agak pahit tetapi inilah kebenarannya yang sama sekali tidak boleh disangkal dan fikiran yang waras tidak akan mengatakan usaha “membuang” bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi tidak langsung menjejaskan usaha memartabatkan bahasa Melayu?

Seterusnya Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dikatakan juga mengalu-alukan kenyataan KPM untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dengan alasan bahawa kononnya bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa, lingua franca yang maha penting? Ini sebenarnya hujah lama yang selalu disebut oleh golongan anglophile.

Sarawak pun katanya telah melaksanakan DLP sejak 2019. Katanya lagi menurut Perjanjian Malaysia 1963 (PM63) Sarawak dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar di sekolah.

Tetapi persoalannya yang lain ialah di manakah semangat kebersamaan negeri atau wilayah dalam “sebuah” Persekutuan yang terdiri daripada tiga entiti iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak? Seolah-olah lalang yang melepas pucuk masing-masing.

Sebuah keluarga dalam satu rumah walaupun di bilik berlainan akan terlihat lebih harmoni dengan pengucapan satu bahasa bersama, apatah lagi sebagai bahasa rasmi, satu jiwa sebagai “bangsa Malaysia” walaupun dalam keadaan yang longgar.

Tidak pernah dinafikan bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain termasuk Mandarin, Jepun, Korea, Arab, Jerman, Rusia dan Perancis, itu penting dan perlu dikuasai.

Kita tidak mempersoal langsung usaha menguasai semua bahasa tersebut malah kita amat menyokong usaha tersebut. Yang kita persoalkan ialah kaedah atau caranya untuk menguasai kemahiran bahasa Inggeris.

Sudah daruratkah kita atau sewel sehingga perlu suatu bahasa yang bukan “mengakar dan membumi” di sini mahu kita julang kembali dan letakkannya di tempat yang tinggi, sama taraf malah kerapnya dalam banyak hal jelas terlihat melebihi taraf bahasa asal, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ibunda majoriti rakyat di negara ini.

Di manakah rasionalnya minda dan pemikiran tentang jati diri sebenar kita dan keberadaan dalam suatu daerah di negara ini, di nusantara ini? Bahasa kita adalah maruah kita sebab itu dikatakan bahasa jiwa bangsa.

Bahasa Melayu jiwa bangsa di Malaysia. Aneh sungguh jika mahu dikatakan bahasa Inggeris itulah sebenarnya jiwa bangsa di Malaysia walaupun ketika rakyat Malaysia teramat fasih berbahasa Inggeris.

Tegas Dr. Annuar lagi, andaian pihak tertentu bahawa kita kurang patriotik jika mempertegas penguasaan bahasa Inggeris tidak benar dan wajib diketepikan sama sekali? Lupakah beliau bahawa bahasa Melayu juga pernah jadi lingua franca dan dianggap seperti bahasa Latin di Eropah pada satu ketika.

Banyak orang lupa sejarah atau pura-pura lupa sejarah. Orang Eropah sendiri mengatakan mereka yang tidak tahu bahasa Melayu pada zaman keagungan Melaka dianggap jahil dan tidak berilmu seumpama orang Eropah yang tidak mengetahui bahasa Latin.

Bahasa Melayu kini malah turut dipelajari di merata universiti terkenal di seluruh dunia seperti China, Rusia, Jepun, Korea, Australia, New Zealand, Belanda dan Jerman bersekali dengan bahasa “Indonesia”.

Golongan anglophile sememangnya selalu membutakan mata dan hati mereka tentang hal ini. Tidaklah terdetik langsung rasa bangga di hati mereka sebagai rakyat Malaysia apabila bahasa rasminya, Melayu, terus mendunia, bergema di dewan kuliah universiti dan Persidangan PBB? Mereka tetap mabuk dan mahu mabuk terus dengan bahasa Inggeris.

Berbalik soal pelajar masih gagal menguasai bahasa Inggeris walaupun setelah 11 tahun dipelajari, pastinya ada sesuatu yang tidak kena.

Malangnya yang diusik KPM selama enam dekad ialah sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Dua dekad berterusan, gagal juga. Contohnya PPSMI dan kini DLP. Nampaknya KPM seolah-olah hilang arah, masih degil dengan pandangan jujur pakar bahasa dan pendidikan.

KPM harus jujur dan berani menerima kenyataan pahit ini. Hasil PPSMI-DLP, malapetaka berganda. Kemahiran bahasa Inggeris tetap hancur, penguasaan mata pelajaran sains merosot, bilangan pelajar memilih jurusan sains di sekolah dan universiti juga berkurangan.

Ini bukan sentimen melulu tetapi kenyataan. Dasar sains sastera 60:40 juga gagal. Almarhum Tan Sri Ainuddin Wahid dan almarhum Profesor Datuk Zainal Wahid, pakar sejarah juga mengatakan lain yang luka, lain yang dibebat.

Pakar sains yang banyak dirujuk di dunia walaupun menulis dalam bahasa Melayu, Profesor Emeritus Wan Ramli, Profesor Emeritus Shaharir Md. Zain, Profesor Datuk Dr Mohamad Yusof Othman, Dr Ali Nor, sekadar beberapa nama yang kebanyakan juga merupakan penyokong kuat Perdana Menteri sendiri dan puluhan lagi telahpun memberikan pandangan bahawa “ubat” memperkuat kemahiran bahasa Inggeris bukanlah melalui PPSMI-DLP.

Demi hakikat kebenaran, ilmu dan maruah bahasa Melayu di negara ini mereka sanggup menyanggah kepalsuan fakta golongan anglophile.

Sejak era PPSMI (2003) hingga kini, sudah lebih 20 tahun masa dibazirkan percuma. Terbukti “ubat” yang salah diberikan oleh farmasi. Semoga mereka masih bersemangat juang sehingga ke akhir hayat.

Kajilah silabus bahasa Inggeris.Perbaiki dan tambah baik. Janganlah diambil teks dari negara lain seperti Sepanyol dan Britain yang budayanya berbeza dengan negara kita.

Contohnya banyak lagi makanan rakyat negara ini boleh diperkenal dalam teks Inggeris berbanding mengambil buku teks negara luar yang memperkenal makanan luar seperti pizza, burger, souvlaki (Greece) dan bercerita tentang empat musim, luruh, sejuk, bunga dan panas yang hanya dapat dibayangkan.

Kita tidak kekurangan pakar bahasa Inggeris. UPM, UKM dan UIAM juga menghasilkan graduan khusus bahasa Inggeris. Dalam buku teks dahulu kita dapati nama seperti Ali, Amir, Kumari, Salmah dan Ah Kow. Adunan perpaduan yang cantik tersirat.

Jujurlah dalam usaha merencana. Tambah baik usaha menguasai bahasa Inggeris melalui mata pelajaran bahasa Inggeris tetapi bukan menjadikan bahasa Melayu sebagai mangsa korbannya atau kambing hitam melalui sains dan matematik.

Penulis juga telah lama mencadangkan agar setiap sekolah termasuk sekolah rendah turut dilengkapkan dengan makmal bahasa seperti di universiti khusus untuk pembelajaran semua bahasa termasuk Melayu, Inggeris dan lain-lain.

Bahan audio visual, komputer dan buku teks digital perlu diperbanyak selaras dengan perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Dengan peralatan yang canggih, kurikulum dan teks yang sesuai dan terbaik, kaedah dan pedagogi yang pelbagai dan menarik, tenaga pengajar yang cekap dan berkualiti, tidak mustahil KPM dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk pembangunan pelajar di negara ini.

Semoga KPM tidak lagi terlihat seolah-olah hilang arah dan pedoman sehingga terpaksa merekayasa pelbagai cara, memberi ubat yang salah dan hasilnya tetap nihil.

Usaha KPM dengan kaedah yang betul pastinya akan tetap disokong sampai bila-bila demi pembangunan anak-anak bangsa di Malaysia. Semoga semua ini dapat dicerna dengan baik dan pemikiran yang terbuka.

Akhirul kalam, sekiranya DLP tidak juga dimansuhkan, janganlah bersedih andai tuan-tuan hamba pula akan terus dikenang sampai ke akhirnya seperti seorang bekas menteri yang telah “menghapuskan” tulisan jawi dalam sistem pendidikan negara satu ketika dahulu.

Oleh sebab hamba juga akan pergi maka di sini sebagai insan yang lemah hamba cuma berupaya mengingatkan tuan-tuan hamba.

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja ditahan langgar anggota polis, cuba lari sekatan jalan

DUA remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Taman Panchor...

More Articles Like This