SERAMAI enam orang saksi bagi kes pengabaian kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin hari ini selesai melakukan pengecaman di sekitar kawasan kejadian di Blok R Apartmen Idaman dekat Damansara Damai, tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang dalam insiden pada 5 Disember, tiga tahun lalu.
Mereka ialah termasuk dua Saksi Pendakwaan (SP) kanak-kanak, dua pegawai polis; Asisten Superintendan Nor Zaharudin Sanip (SP-5) dan Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin (SP-4) selain dua lagi saksi awam yang merupakan penduduk Blok R, Apartmen Idaman; Rashidah Rajali, 37,(SP-16) dan Siti Natrah Ismail, 78 (SP-12) yang telah memberikan keterangan kepada mahkamah sebelum ini.
Prosiding pengecaman kawasan kejadian secara tepat itu dilakukan dengan kehadiran Hakim Dr. Syahliza Warnoh, pasukan pendakwaan dan pembelaan bagi kes pertuduhan mengabai kanak-kanak terbabit yang dihadapi oleh ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, masing-masing berusia 30 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Ramzaini Idris yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira bersama-sama peguam Haresh Mahadevan selepas proses pengecaman kawasan kejadian oleh saksi-saksi itu selesai sekitar jam 12.35 tengahari.
“Pengecaman adalah kawasan pencarian arwah Zayn dan juga tempat kanak-kanak bermain, serta tangga yang dikatakan nampak ibu Zayn di mana kali terakhir Zayn dilihat saksi. Kes akan bersambung esok di mahkamah dengan pihak pembelaan akan menyoal balas saksi-saksi.
“Tiada soal balas. Hari ini adalah untuk mengenalpasti tempat kejadian ekoran kawasan itu sukar untuk kenal pasti secara sepenuhnya menerusi gambar-gambar yang dikemukakan kepada mahkamah,” kata peguam itu.
Tambah beliau, Hakim Dr. Syahliza diiringi oleh pendaftar mahkamah, manakala pegawai perakam mahkamah merakam keterangan-keterangan melalui rakaman video.
Pasukan pendakwaan dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala pasukan pembelaan dihadiri oleh peguam Haresh Mahadevan dan Ramzaini.
Prosiding pengecaman lokasi kejadian itu juga dihadiri oleh kedua-dua tertuduh bagi kes ini, Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Sebelum ini media melaporkan Dr. Syahliza menetapkan hari ini bagi pihak-pihak terlibat dengan perbicaraan kes ini, termasuk saksi-saksi pendakwaan bagi melakukan lawatan di lokasi kejadian tersebut.
Beliau memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan membuat permohonan lisan kepada mahkamah bagi melawat kawasan kejadian yang dikaitkan dengan siasatan kes Orang Hilang (OH) susulan laporan polis yang dibuat oleh Ismanira.
Pihak pendakwaan membuat permohonan itu agar mahkamah membuat lawatan itu terlebih dahulu sebelum meneruskan sesi pemeriksaan utama terhadap dua pegawai polis pada perbicaraan.
Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di Jalan PJU Damansara Damai, Petaling Jaya, pada jam 12 tengah hari, pada 5 Disember 2023 hingga keesokannnya pada jam 9.55 malam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

