LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) menawarkan perlindungan takaful berganda sehingga RM48,000 kepada pendeposit menerusi dua sijil perlindungan TH Khairat dengan setiap pengendali takaful yang dilantik.
Sebelum ini, pendeposit TH hanya boleh mendaftar satu sijil perlindungan dengan setiap pengendali takaful, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) dan Hong Leong MSIG Takaful (HLMT).
Namun begitu, Tabung Haji dalam kenyataan memaklumkan, pendeposit boleh mendaftar dua sijil perlindungan dengan setiap pengendali takaful bermula esok bagi membolehkan seorang pendeposit memiliki sehingga empat sijil perlindungan.
Menurut Tabung Haji, bayaran langganan kekal pada RM28 setahun bagi setiap satu sijil yang didaftarkan dengan manfaat perlindungan RM12,000 sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal dan menyeluruh.
Katanya, penerima manfaat layak membuat tuntutan sehingga RM48,000 sekiranya pendeposit memiliki empat sijil perlindungan.
“Selain itu, bermula tahun ini juga, jemaah haji yang memiliki sijil TH Khairat akan dilindungi dua kali ganda daripada jumlah manfaat asal iaitu daripada RM12,000 menjadi RM24,000 sekiranya berlaku kematian ketika menunaikan haji di Tanah Suci tanpa sebarang bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi Tabung Haji, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen Tabung Haji yang sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan memberi nilai tambah kepada pendeposit secara berterusan.
Baca artikel lain: Tabung Haji dijangka mula keluar surat tawaran haji Isnin ini
Beliau berkata, pendaftaran boleh dilakukan dengan mudah iaitu menerusi aplikasi THiJARI atau mengunjungi cawangan terdekat sekiranya memerlukan penerangan lanjut serta bantuan daripada anggota Tabung Haji.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama STMKB dan HLMT, pendeposit kini boleh mendaftar dua sijil perlindungan dengan setiap pengendali takaful.
“Bagi pendeposit yang meninggal dunia ketika menunaikan haji pula, kini mereka layak untuk membuat tuntutan sehingga RM96,000 sekiranya mempunyai keseluruhan empat sijil perlindungan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Ameen menggalakkan semua pendeposit terutama bakal jemaah haji tahun ini untuk mendaftar TH Khairat sebagai salah satu persiapan sebelum pergi menunaikan haji kerana manfaat berganda disediakan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini di Tanah Suci.
Sejak dilancarkan pada Julai 2023, Mohamed Ameen memberitahu inisiatif TH Khairat telah menerima sambutan memberangsangkan dan telah mencatatkan hampir 580,000 pendaftaran.
“Menerusi inisiatif ini, Tabung Haji telah membantu seramai 375 waris melalui pembayaran tuntutan sebanyak lebih RM4.5 juta dan ini membuktikan kesungguhan Tabung Haji bersama syarikat pengendali takaful dalam menyelesaikan tuntutan pantas melalui perlindungan takaful mampu milik yang dapat memenuhi keperluan setiap pendeposit.
“Tabung Haji akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

