PENYANYI dan pesonaliti sosial media berbakat, Wawa Mazlan, melancarkan single debutnya bertajuk Sampai Bila, sebuah karya yang memukau dengan sentuhan bossanova dan diselitkan dengan elemen jazz moden.
Dengan vokal yang lembut dan penuh emosi, Wawa mempersembahkan sebuah lagu yang membuai perasaan pendengar.
Setiap hati pernah terperangkap dalam sunyi perasaan yang tak terucap. Kita semua pernah menjadi tawanan rindu, menyimpan kata-kata yang hanya bergema di dalam diri, takut akan jawapan yang mungkin tak seperti yang diharapkan.
Ada saatnya kita menunggu tanpa kepastian, berharap seseorang menyedari kehadiran dan isi hati kita.
Namun, dalam penantian itu, kita dihimpit oleh dilema antara meluahkan atau terus membiarkan rasa ini menjadi rahsia.
Sampai bila kita harus menahan? Sampai bila kita harus bersembunyi di sebalik takut? Mungkin inilah takdir setiap jiwa yang pernah mencintai dalam diam—menjadi pengembara dalam perasaan sendiri.
Sampai Bila mengisahkan tentang perasaan yang terpendam, harapan yang tidak pasti, dan dilema hati yang terseksa oleh cinta yang belum berbalas.
Lirik yang mendalam, digabungkan dengan melodi yang merdu, menjadikan lagu ini sesuatu yang dekat di hati para pendengar.
Suara lembut dan ekspresif Wawa menambahkan lagi keunikan serta daya tarikan lagu ini.
“Sebagai single pertama saya, lagu ini sangat istimewa dan menggambarkan perjalanan emosi yang saya ingin sampaikan kepada pendengar.
“Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang sedang atau pernah mengalami perasaan yang sama,” katanya.
Wawa amat berbesar hati dan teruja atas pelawaan untuk meghasilkan sebuah karya yang unik dan istimewa baginya dan berada di bawah naungan syarikat rakaman MAPMUSIC dengan harapan karya pertamanya dapat diterima dan disokong oleh pendengar.
Single Sampai Bila boleh didengar di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, YouTube, dan Deezer.

