SEORANG suri rumah yang disyaki menikam suaminya sampai mati pada minggu lepas didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Hew Pit Lee, 59, sejurus pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Pengakuan tertuduh tidak direkodkan memandangkan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita terbabit didakwa membunuh suaminya, Wong Chee Min, 61, di sebuah kediaman dekat Bandar Teknologi Kajang, Semenyih di Hulu Langat, antara jam 10.30 pagi sehingga 11 pagi pada 16 Februari 2025.
Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan jika tidak dihukum mati, sekiranya sabit kesalahan.
Ketika prosiding, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Terdahulu, mahkamah terpaksa ditangguhkan seketika apabila tertuduh enggan menjawab sebarang soalan daripada jurubahasa mahkamah.
Pit Lee yang duduk di dalam kandang tertuduh turut dilihat dipujuk oleh anggota polis dan jurubahasa mahkamah sebelum prosiding itu dimulakan semula.
Selepas prosiding bermula semula dan sepanjang pertuduhan dibacakan, Pit Lee yang berdiri di dalam kandang tertuduh sekadar menunduk dan tidak memberikan sebarang respon biarpun beberapa kali dipanggil oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Fatin Dayana kemudian menetapkan 17 April depan, bagi sebutan semula kes dan dokumen laporan berkaitan kes.
Sebelum ini pada 17 Februari lalu UtusanTV melaporkan seorang lelaki warga emas maut ditikam isterinya dipercayai gara-gara perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menahan isteri kepada lelaki terbabit bagi membantu siasatan selain merampas senjata pisau yang digunakan semasa kejadian.
“Siasatan mendapati mereka telah berkahwin selama 37 tahun sejak tahun 1988 dan punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” katanya.
Jelasnya, mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan punca kematian adalah disebabkan pelbagai luka tikaman.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

