SHAPADU CR Asia (SCR) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri penyelenggaraan loji minyak dan gas apabila berjaya mencapai pencapaian membanggakan sebanyak tiga juta jam kerja selamat tanpa sebarang kecederaan yang menyebabkan kehilangan waktu kerja (Lost Time Injury, LTI).
Sambutan bagi meraikan kejayaan itu telah diadakan di Kompleks Bersepadu Pengerang pada 19 Februari dengan kehadiran barisan kepimpinan utama Shapadu CR Asia dan PRefChem, serta pihak pengurusan dan kakitangan dari kedua-dua organisasi termasuk para subkontraktor SCR.
Majlis telah diserikan dengan kehadiran Pengarah Eksekutif Shapadu CR Asia, Syed Saggaf Syed Ahmad, serta Plant Head PRefChem Chandra Segaran yang mewakili Head of Manufacturing PRefChem.
Turut hadir ialah Pengurus Besar Shapadu CR Asia, Rano Ariff Musa; Pengurus Besar Bahagian Penyelenggaraan PRefChem, Essam Al Alem dan Ketua Keselamatan dan Krisis Bersepadu PRefChem, Yasir Al Habidi.
Kehadiran pihak pengurusan kanan itu mencerminkan pengiktirafan serta komitmen tinggi terhadap keselamatan di tempat kerja.
Dalam ucapan penghargaan kepada semua kakitangan dan subkontraktor, Syed Saggaf menekankan bahawa pencapaian ini adalah hasil komitmen, dedikasi serta disiplin tinggi setiap individu dalam mematuhi prosedur keselamatan di tempat kerja.
“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab majikan atau pegawai keselamatan, tetapi ia adalah amanah bersama. Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan bebas dari risiko,” katanya.
Dalam pada itu, Chandra Segaran dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa pencapaian 3 juta jam kerja selamat itu bukan satu destinasi, sebaliknya merupakan satu perjalanan yang memerlukan usaha berterusan.
“Kejayaan ini adalah bukti bahawa dengan komitmen yang tinggi dan kepatuhan kepada standard keselamatan, kita dapat mewujudkan budaya kerja yang selamat dan mampan,” ujarnya.
Pelancaran Budaya Keselamatan SCR : Building Generative Culture – HSE and Beyond
Dalam majlis yang sama, Syed Saggaf dan Essam Al Alem turut melancarkan budaya keselamatan SCR bertemakan Building Generative Culture – HSE and Beyond.
Inisiatif itu bertujuan untuk membina budaya keselamatan yang lebih kukuh dan berterusan dalam kalangan pekerja, bukan sahaja dalam aspek pematuhan peraturan tetapi juga dalam menggalakkan tanggungjawab proaktif setiap individu terhadap keselamatan diri dan rakan sekerja.
Pendekatan Generative Culture itu menekankan kepimpinan dalam keselamatan, komunikasi terbuka mengenai risiko dan bahaya di tempat kerja, serta galakan kepada semua pekerja untuk memainkan peranan aktif dalam menambah baik sistem keselamatan.
Dengan adanya inisiatif tersebut, SCR berharap dapat terus meningkatkan tahap keselamatan di tempat kerja dan mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat yang mengutamakan kesejahteraan pekerja.
Dengan kejayaan berkenaan, SCR bertekad untuk terus memperkukuh budaya keselamatan kerja dan memastikan standard keselamatan yang tinggi dikekalkan demi kesejahteraan semua pihak dalam industri minyak dan gas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

