LELAKI tular yang berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah masjid di Batang Kali mengaku bersalah di Mahkamah Ampang hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal.
Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Bagaimanapun fakta kes dan hukuman ditangguhkan sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan, di dalam sebuah masjid dekat Kampung Sungai Masin, Batang Kali di Hulu Selangor sekitar jam 6.20 pagi pada 21 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi menunggu laporan sosial daripada JKM memandangkan tertuduh merupakan pesalah muda yang berusia antara 18 sehingga 21 tahun.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh selain mencadangkan agar dia melaporkan diri balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak mengacau ganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
“Tempat kejadian juga berdekatan dengan kawasan perumahan di mana mangsa tinggal,” katanya.
Sementara itu, tertuduh yang memakai baju berwarna putih berdiri di dalam kandang tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.
Sebelum menetapkan tarikh sebutan, Hakim Norshila menyoal tertuduh sama ada ahli keluarganya hadir ke mahkamah pada hari ini bagi membayar jaminan, tertuduh menjawab tiada.
Susulan itu, Hakim Norshila tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh selain menetapkan tarikh 27 Mac depan bagi laporan sosial tertuduh, fakta kes dan hukuman.
Sebelum ini UtusanTV melaporkan lelaki itu diberkas oleh pihak polis selepas dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan.
Rakaman kamera litar tertutup perbuatannya telah tular di media sosial.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim mengesahkan lelaki itu memiliki kad orang kurang upaya, masalah pembelajaran sejak kecil.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

