Lebih 30 selebriti termasuk pempengaruh bakal meriahkan Selangor Havoc Raya Fest 2025, 108 jam tanpa henti!

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

ACARA membeli-belah terbesar Malaysia, Havoc Festival membawakan Selangor Havoc Raya Fest 2025 dengan menampilkan festival jualan raya yang akan berlangsung selama 108 jam tanpa henti dari 21 hingga 25 Mac ini di Setia City Convention Centre (SCCC), Shah Alam.

Acara ini bukan sekadar medan membeli-belah, malah bakal menjadi satu fenomena yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik serta hiburan sepanjang tempoh penganjurannya.

Penganjuran tahun ini menjanjikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa dengan lebih 180 reruai daripada pelbagai usahawan tempatan, menawarkan pelbagai produk berkaitan persiapan raya dan makanan.

Selain itu, festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran 30 artis dan pempengaruh terkenal yang akan menghiburkan pengunjung dengan persembahan istimewa.

Sidang media karnival berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bersama Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor iaitu Najwan Halimi yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dalam memperkasakan keusahawanan tempatan serta merancakkan ekonomi sempena sambutan Aidilfitri.

Hari pertama Selangor Havoc Raya Fest 2025 akan dimulakan dengan majlis perasmian yang gilang-gemilang, diikuti dengan pemberian wang tunai sebanyak RM10,000 kepada pengunjung terawal sebagai tanda penghargaan kepada sokongan mereka.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah.

Sepanjang lima hari penganjuran, festival ini akan dimeriahkan dengan persembahan nyanyian, sesi selawat dan qasidah, serta buat julung kalinya, program qiamullail sebelum sahur.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Datuk Firdaus Nadxaman, festival tahun ini bukan sahaja bertujuan mengangkat industri perniagaan tempatan, malah turut membawa elemen spiritual dan kebersamaan kepada pengunjung.

“Kami berusaha untuk menjadikan Selangor Havoc Raya Fest lebih istimewa. Kali ini, dengan penganjuran selama 108 jam tanpa henti yang mana kami mahu memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung dengan menampilkan bukan sahaja sesi hiburan dan jualan raya, tetapi juga nilai tambah dari segi kerohanian.

“Buat pertama kali, kami membawakan program qiamullail sebelum sahur, satu inisiatif yang sangat bermakna bagi kami. Kami ingin menjadikan festival ini bukan sekadar tempat membeli-belah dan hiburan, tetapi juga platform yang membolehkan orang ramai menghayati bulan Ramadan dengan lebih mendalam.

“Ini adalah usaha kami untuk menyatukan elemen duniawi dan ukhrawi dalam satu acara yang komprehensif,” katanya.

Pada masa sama, Selangor Havoc Raya Fest 2025 mencatat sejarah tersendiri dengan pelancaran muzik video rasmi ‘Havoc Raya’, iaitu lagu raya pertama dalam tempoh enam tahun penganjuran karnival terbabit.

Lagu ini menampilkan Black Hanifah sebagai penyanyi utama, diiringi oleh barisan artis seperti Asfan Shah, Talam, Epol, Shafiq Nizam, Syura Badron, Mira Kuku, Daud Latah, Qistina, Afif Hanif, Shajiry, dan Azza Elite.

Muzik video ini dijangka menjadi salah satu tarikan utama festival dan menambah kemeriahan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ia turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan ditaja oleh Perfume Paradise sebagai penaja utama.

Selain itu, ia turut mendapat sokongan padu agensi kerajaan negeri Selangor iaitu dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) & Tourism Selangor yang akan membantu mempromosikan pengiklanan secara menyeluruh di negeri Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut Firdaus, sokongan yang diterima membuktikan bahawa festival ini bukan sekadar platform jualan, tetapi juga medium untuk memperkasakan usahawan tempatan serta memeriahkan sambutan Ramadan dan Aidilfitri dengan pengalaman yang lebih bermakna.

“Kami sentiasa percaya bahawa festival ini bukan sekadar ruang niaga tetapi juga ruang untuk komuniti berkumpul dan meraikan suasana Ramadan serta persiapan Aidilfitri dengan penuh keceriaan.

“Tahun ini, kami menambah lebih banyak elemen kejutan, aktiviti menarik, dan tentunya pengalaman membeli-belah yang luar biasa,” ujarnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Selepas 7 tahun menyepi, Jason Mraz pilih Malaysia untuk konsert mega Oktober depan! Tiket mula dijual 11 Jun ini

SELEPAS tujuh tahun menanti, peminat muzik tempatan bakal kembali disatukan dengan pelantun lagu hit global I’m Yours, Jason Mraz,...

More Articles Like This