Pemimpin politik bertindak sebagai jambatan perpaduan bukan cetus api – Sultan Pahang

Dari Penulis

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pemimpin khususnya pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan menyatukan rakyat dan bukannya mencetus api membakar hubungan harmoni yang sekian lama terjalin.

Baginda bertitah pemimpin haruslah berhenti daripada menjadi ‘badut’ mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R), sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.

“Biarkanlah pentas ini terus tenang tanpa drama yang menyakitkan. Berdialoglah, guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) baru-baru ini yang menekankan pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai bukannya pencetus perbalahan,” titah baginda dalam hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, malam tadi.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, Masjid Rahman Ibn Auf, Jerantut, semalam. Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baca artikel lain: Henti bahas Titah Adendum: Jemaah Menteri junjung kasih titah Al-Sultan Abdullah – Fahmi

Al-Sultan Abdullah bertitah sejarah telah membuktikan pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa kepada malapetaka.

“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada pihak yang meremehkan kesucian dan mencabar agama Islam, seolah-olah tiada batasan dalam bicara dan bertindak.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan umat Islam di negeri ini agar bangkit bersama-sama untuk mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar ia tidak sewenang-wenangnya dipelekehkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Walaupun kita sebagai muslim diajar mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk yakni rendah hati dalam keilmuan, beradab dalam tutur kata, bijaksana dalam perbuatan.

“Namun, janganlah kerana kelembutan dan kesopanan itu, ada pihak yang berani memperlekehkan agama kita sesuka hati. Islam tidak pernah mengajar kita untuk tunduk kepada penghinaan dan penindasan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai, selagi ia tidak mengggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hospital Melaka jadi penanda aras nasional, terima peruntukan khas RM1.6 juta

HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan...

More Articles Like This