Anwar lancar Wakaf MARA MADANI, bantu martabat agenda Melayu dan bumiputera

Dari Penulis

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Wakaf MARA MADANI yang bertujuan memartabatkan agenda bangsa Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Anwar berkata, inisiatif wakaf berkenaan adalah sebahagian daripada warisan umat Islam untuk membina kekuatan dari peringkat akar umbi.

Perdana Menteri berkata inisiatif wakaf itu juga akan memberi peluang kepada bangsa Melayu dan Bumiputera untuk membangun dan menententukan masa depan mereka sendiri.

“Waktaf MARA MADANI ini menunjukkan bahawa kita dah sampai ke tahap bukan sahaja kita menerima peluang dan peruntukan semata-mata, ini masa kita menunjukkan bahawa kita adalah bangsa yang bermaruah, boleh menentukan masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran wakaf itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Anwar berkata, kerajaan akan terus menekankan dasar pemerkasaan bumiputera bagi memperkukuh mobiliti sosial untuk golongan itu dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memainkan peranan penting dalam meneruskan usaha berkenaan.

Beliau berkata langkah tersebut merangkumi penyediaan peluang pendidikan dan latihan kemahiran kepada golongan bumiputera, sekali gus memperbaiki kedudukan mereka dalam masyarakat.

“Kejayaan dasar bumiputera terutama melalui MARA adalah yang disebut mobiliti sosial yang ketara. Anak-anak dari kelompok miskin dari desa dan pedalaman diberi peluang dan meningkatkan kedudukan mereka melalui pendidikan.

Baca artikel lain: Jangan ganggu usaha pembangunan semula bandar – PM

“Mobiliti sosial ini harus difahami oleh semua rakyat Malaysia. Tanpa dasar bumiputera dan MARA, kita akan lihat umpamanya kecundang masyarakat Melayu, tidak dapat meningkatkan kedudukan mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata sebagai agensi yang bertanggungjawab membangunkan Melayu dan bumiputera, MARA perlu berusaha secara berterusan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar terpelihara.

Beliau berkata pengurusan dana amanah yang telus dan berintegriti amat penting bagi memastikan manfaatnya dapat dimaksimumkan demi kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapannya berkata pihaknya menyasarkan kutipan wakaf mencapai RM100 juta tahun ini sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan pembangunan masyarakat.

Beliau seterusnya menyeru kira-kira 2.8 juta alumni MARA supaya menyumbang ke dalam program wakaf berkenaan, agar bantuan kepada golongan yang memerlukan dapat diperluaskan lagi.

Sebagai tanda sokongan, Anwar dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing menyumbang RM1,000 kepada Wakaf MARA MADANI.

Selain Ahmad Zahid dan Asyraf Wajdi, turut hadir pada majlis hari ini ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang dan alumni MARA.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This