Dua kali beri teguran sebelum ‘abang belon’ bertindak agresif, DBKL jamin siasatan lanjut

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEORANG penjaja belon yang dipercayai telah dikasari anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), malam tadi sebenarnya telah diberi teguran sebanyak dua kali.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, anggota penguat kuasanya sebelum itu mendapati kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.

Menurut DBKL, kehadiran beberapa penjaja itu telah menghalang pergerakan orang ramai dan menyebabkan kesesakan terutama ketika musim persiapan sambutan Aidilfitri yang menyaksikan kehadiran ramai pengunjung.

Seperti amalan biasa, DBKL memaklumkan telah memberi teguran terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Malah, katanya, penjaja tanpa lesen lain telah memberikan kerjasama dan beredar daripada kawasan tersebut.

“Namun begitu, seorang penjaja belon enggan mematuhi arahan dan terus berniaga seperti biasa walaupun sudah diberi teguran sebanyak dua kali.

“Ketika teguran ketiga diberikan, penjaja belon tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila beliau menolak petugas penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.

“Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang dan menghalang kemungkinan insiden lebih serius, anggota penguat kuasa berpakaian preman bertindak pantas untuk menenangkan dan memisahkan penjaga terbabit daripada terus mengasari petugas penguat kuasa.

“Situasi menjadi tegang apabila beberapa penjaja lain cuba campur tangan, namun keadaan berjaya dikawal dan ditenangkan tidak lama kemudian. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel lain: Isu ‘abang belon’: Tindakan penguat kuasa DBKL keji, biadab, kata Kamil Munim

Mengulas lanjut, DBKL memberi jaminan akan menjalankan siasatan lanjut dan mengambil keterangan daripada semua anggota penguat kuasa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Sekiranya perlu, DBKL juga akan meneliti penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) dalam tindakan penguatkuasaan bagi memastikan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielak daripada berlaku.

Pada masa sama, katanya, satu laporan polis juga telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dalam kejadian itu.

“DBKL ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan tanpa mengambil kira sebarang latar belakang kaum.

“Penguatkuasaan adalah berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai sebarang motif perkauman.

“Sehubungan dengan itu, DBKL memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan hebahan sentimen serta spekulasi negatif dan tidak bertanggungjawab yang boleh mengeruhkan keadaan selain turut menyeru agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi,” katanya.

Terdahulu, satu video memaparkan seorang penjual belon didakwa dikasari penguatkuasa DBKL di Jalan TAR tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 1 minit 43 saat itu, beberapa orang penguatkuasa DBKL dilihat bergelut dengan seorang lelaki yang membawa belon.

‘Abang belon’ tersebut dipercayai menjalankan aktiviti tanpa lesen di kawasan tersebut.

Berdasarkan rakaman tersebut, kekecohan berlaku apabila penguatkuasa mahu merampas belon yang dibawa lelaki berkenaan.

Berlaku pergelutan antara lelaki itu dengan penguatkuasa terbabit sehingga dilihat dia dikasari.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

UMNO-BN Negeri Sembilan sedia letak calon di semua 36 kerusi DUN

UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bersedia untuk meletakkan calon di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan...

More Articles Like This