PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, petang semalam, susulan bencana gempa bumi yang melanda negara itu 28 Mac lalu.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan rasmi ke Thailand memaklumkan, perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan konstruktif itu memberi tumpuan kepada keperluan mendesak menyegerakan bantuan kemanusiaan ke Myanmar.
Menurut Anwar, ia termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.
Beliau berkata, mereka turut berbincang mengenai kepentingan untuk mengembalikan Myanmar kepada keadaan sediakala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya.
“Petang tadi (semalam), saya telah bertemu dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar.
“Dalam pertemuan lebih satu jam ini, kami berbincang secara terbuka dan konstruktif, dengan tumpuan kepada keperluan mendesak untuk menyegerakan bantuan kemanusiaan, termasuk penempatan segera sebuah hospital medan.
“Kami turut menyentuh kepentingan mengembalikan Myanmar kepada keadaan sediakala demi kestabilan dan keselamatan rakyatnya,” katanya dalam hantaran tersebut.
Baca artikel lain: 1,200 penggiat seni disasar sertai Briged Seni Kreatif APM menjelang 2026 – Fahmi
Difahamkan, bekas Perdana Menteri Thailand yang juga Ketua Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN, Thaksin Shinawatra turut menghadiri pertemuan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menyambut baik langkah-langkah awal untuk meredakan ketegangan termasuk pembebasan 4,800 tahanan pada Rabu malam.
“Tindakan sebegini memberi isyarat yang cukup bermakna. Kita mesti terus menggalakkan semua pihak untuk berunding secara serius demi kestabilan Myanmar dan kesejahteraan rakyatnya,” kata beliau.
Perdana Menteri juga berkata beliau akan bertemu dengan wakil-wakil Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar pagi ini.
Dilaporkan bahawa ketua kerajaan tentera Myanmar memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional negara itu, lapor media kerajaan pada Khamis.
Sebuah badan pemerhati bebas menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 22 daripada mereka yang dibebaskan adalah tahanan politik.
Untuk rekod, Pasukan Khas Bantuan dan Menyelamat Bencana Malaysia (SMART) berlepas ke Naypyidaw, pada 30 Mac lepas dua hari selepas gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 skala Richter melanda Myanmar.
Pasukan itu menjalankan misi bantuan kemanusiaan dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

